Pengacara TV Selangor kritikal di hospital

 Pengacara TV Selangor kritikal di hospital

SHAH ALAM - Exco Belia, Sukan dan Kemudahan Infrastuktur Awam, Dr Yunus Hairi berkesempatan meluangkan masa melawat Pegawai Perhubungan Awam dan Korporat Media Selangorku, Mansor Abu Bakar yang kini kritikal di Hospital Sentosa Klang, semalam.

Mansor yang lebih dikenali sebagai DJ Mansor terlantar di hospital terbabit sejak minggu lalu akibat komplikasi kesihatan demam denggi, jantung, darah tinggi dan paru-paru.

Beliau kini bergantung dengan bantuan pernafasan melalui mesin.

“Saya mengambil kesempatan ini merakamkan kesedihan saya kepada ahli keluarga Saudara DJ Mansor, seorang tenaga penting di sebalik penerbitan TV Selangor yang kini di dalam keadaan yang agak kritikal.

“Saya mengenali Saudara DJ Mansor dengan agak rapat kerana beliau sentiasa menghubungi saya untuk mendapatkan sebarang maklumbalas berkenaan isu-isu di Selangor dan aktiviti serta program di bawah portfolio jagaan saya untuk disebarkan melalui TV Selangor,” katanya.

Yunus berharap semua pihak mendoakan kesihatan DJ Mansor dan sekeluarga dapat bersabar dan tenang menghadapi dugaan itu.

Turut menziarahi DJ Mansor ialah Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail.

Sinar Harian

Ulasan