PERMATANG PAUH: Para Pemuda PAS perlu memiliki persediaan diri dalam menghadapi mehnah dan perancangan untuk gerakan hingga Islam tertonjol kepada masyarakat, demikian seru Adun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat.
Ujarnya, sebagaimana musyrikin Makkah pernah berusaha menangkap, memenjara, menghalau dan cuba membunuh Rasulullah SAW, seperti itulah para pemuda PAS yang menjadi pewaris menyambung perjuangan Baginda akan diuji.
“Dipenjara, dihalau, dibunuh syahid, kita kena ada persediaan menghadapi semua cabaran ini. Kerana menggerakkan perjuangan ini bukan mudah untuk menghadapi cabaran dihadapan,” ujarnya pada tazkirah Subuh sempena Ijtimak Tarbawi 4.0 di Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang.
Terangnya, persiapan diri itu termasuk memiliki rasa kasih sayang dan cinta kepada jamaah serta taat dan patuh untuk mengikuti setiap arahan jamaah.
Ujarnya juga, apabila berada dalam gerakan Islam, para pemuda mestilah mengikut perjuangan telah ditunjukkan Nabi SAW iaitulah menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan dalam bergerak kerja.
“Paling utama, adab akhlaklah yang perlu kita tonjolkan dalam setiap aktiviti dan gerak kerja kerana kita memberikan gambaran Islam pada masyarakat. Dari diri kita pulalah yang akan menonjolkan akhlak gerakan Islam kepada masyarakat,” ujar beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah.
Persediaan diri itu pula terangnya, mesti disertakan sama dengan perancangan teliti sebagaimana Rasulullah telah menggerakkan strategi Hijraturrasul.
Beliau memetik perancangan dan strategi hebat dilaksanakan Rasulullah hingga berjaya melakukan hijrah ke Yathrib dengan menggerakkan segala sumber dan tenaga manusia yang ada di sebalik usaha musyrikin untuk menggagalkannya.
Katanya, Rasulullah saat diperintahkan berhijrah oleh Allah boleh sahaja terus ke Madinah, tetapi Baginda terlebih dahulu menyusun perancangan strategik hingga perintah itu dapat dilaksanakan mengatasi usaha dan kekangan musyrikin Makkah ke atas Baginda.
“Allah dedahkan rancangan tipu daya musyrikin dan Allah jualah yang menggagalkan tipu daya mereka. Jika sekiranya perjuangan Rasulullah hanya hendak solat, hendak puasa dan hendak mengerjakan haji sahaja, Baginda boleh cukup laksanakannya di Makkah.
“Tapi Baginda berhijrah, demi untuk melaksanakan Islam melengkapi segala aspek kehidupan manusia, menjadikan Islam sebagai ‘addin’ yakni cara hidup yang mesti diikuti semua manusia,” ujarnya berkongsi motivasi dengan sahabat-sahabat pemuda.
Harakah Daily
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..