'Cabang Tapah tak pernah desak tangguh pemilihan'

Timbalan ketua PKR Tapah Datuk Dr Yap Thong menafikan cabangnya pernah mendesak agar parti menangguhkan pemilihan yang sedang berlangsung.

Malah, katanya, cabangnya tidak pernah bermesyuarat untuk memutuskan supaya pemilihan terbabit ditangguhkan.

"Kita (cabang) tidak pernah berbincang untuk menangguhkan pemilihan parti. Ia (mesyuarat) tidak berlaku. Perkara itu tidak betul," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, beliau tidak tahu menahu mengapa cabang berkenaan dikaitkan dengan tuntutan menangguhkan pemilihan berkenaan.

Malah Dr Yap menggesa agar pemilihan itu diteruskan untuk merealisasikan 'satu anggota satu undi' dalam pemilihan langsung yang julung-julung kali diadakan.

Dr Yap mengulas kenyataan sebuah badan - Gabungan Cabang PKR - yang mendakwa sekurang-kurangnya 24 ketua cabang termasuk cabang Tapah, membuat tuntutan terbuka kepada jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) parti supaya menangguhkan pemilihan yang sedang berlangsung.

Selain Tapah, badan itu juga turut menyenaraikan 23 ketua cabang yang lain tersebut - Putrajaya, Teluk Intan, Temerloh, Petaling Jaya Utara, Sembrong, Kuala Pilah, Paya Besar, `Bagan Datoh, Bentong, Keningau, Tanjung Malim, Ipoh Barat, Tampin, Rompin, Pensiangan, Sungai Siput, Maran, Tambun, Jerantut, Bagan Serai, Kuala Kangsar, Kota Kinabalu dan Seremban.

Sementara itu, ketua cabang PKR Tapah, Ridzuan Bani mengesahkan beliau memberi persetujuan kepada PKR negeri supaya pemilihan yang sedang berlangsung ditangguhkan.

Katanya, beliau memberi persetujuan tersebut melalui satu kiriman SMS kepada ketua penerangan PKR Perak Zulkifli Ibrahim semalam.

"Saya tidak berbincang dengan ahli jawatankuasa (cabang). Kita merujuk terus kepada PKR negeri kerana mereka mempunyai kuasa yang lebih," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini bagi mengulas percanggahan beliau dengan timbalannya.

Mengulas sama ada cabang itu akan meneruskan pemilihan Sabtu ini, Ridzuan berkata pihaknya akan melihat perkembangannya terlibat dahulu berhubung desakan mereka.

Malaysiakini


"Kalau tiada jawapan dari Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), saya akan merujuk kepada PKR negeri," katanya.

Tapah antara tujuh cabang di Perak akan mengadakan pengundi mereka Sabtu ini.

Ulasan