Mengikut kajian Di Galas Calon PAS Bakal Menang

BN bermasalah untuk menang — Wan Nik Wan Yussof

3 NOV — Analisis Wong Shu Qi (MerdekaReview, 29 Okt 10) lebih bersifat di bumi tentang peluang PAS boleh menang di pilihan raya kecil Galas atas persepsi rasional di sisi seorang penganalisis kaum Cina.

Hujahnya tepat, berasaskan demografi pengundinya jumlah pengundi Cian dominan (kira-kira 20 peratus) sebagai penentu kemenangan. Hujahnya pasti tidak menyenangkan pihak BN, khususnya Umno selaku parti yang mencalon.

Faktor calon dan undi Melayu

Menurut Wong Shu Qi: “Apa yang membezakan antara PRK Galas dengan Manek Urai adalah komposisi pengundinya. Sejumlah 99.2 peratus pengundi Manek Urai terdiri daripada Melayu… menjadi penentu.”

Apabilan PAS hampir kalah di Manek Urai, jawapan mudah kerana kemerosotan undi Melayu. Apakah kemerosotoan itu bakal berulang di Galas.

Belum pasti.

Jika pun merosot boleh jadi tidak sampai 6 peratus. Mungkin 3-5 peratus sahaja. Maka kekuatan undi Melayu seperti di Sungai Terah akan turun kepada 64 peratus (daripada jangkaan keluar 1,549 atau 81 peratus). Apa pun, trend kemerosotan undi Melayu mungkin bertahan bagi PAS atas faktor calon, Dr. Zul seorang doktor yang dikatakan lebih popular berbanding calon BN, Abdul Aziz.

Berdasarkan kajian Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan (PKS), didapati popular calon PAS mengatasi calon BN dari segi kecenderungan pengundi yang berani menyatakan sikap atau penilaian terhadap calon.

Seramai 322 orang responden, seramai 50.9 peratus menyokong Dr. Zul sebagai wakil rakyat untuk membuka klinik bergerak bila menang. Sementara 27 peratus sahaja yang bersetuju dengan pengalaman Abdul Aziz sebagai kakitangan KESEDAR berupaya menjalankan tugas wakil rakyat Galas.

Ukuran ini sebagai asas popular, didapati doktor dilihat lebih popular berbanding pengurus. Ini juga penemuan bertapak di bumi. Justeru, calon PAS mempunyai kelebihan berbanding calon BN menyebabkan PAS boleh dikatakan mampu bertahan kemerosotan undi kalangan orang Melayu.

Sikap silent

Berbeza dengan kajian Ilham Centre (IC) yang mendapati 54.1 peratus daripada pengundi di Galas masih bersikap senyap (silient) atau menyembunyikan pendirian politik mereka dan mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap “tawaran politik” daripada kedua-dua parti bertanding- PAS dan BN.

Kajian ini mungkin bersifat akademik dan semacam menafikan kempen yang dibuat antara dua calon bertanding. Atau pengundi Galas memang sudah tidak berminat mengundi.

Namun sikap itu berlawanan dengan pilihan raya umum lepas, apabila lebih 80 peratus yang keluar mengundi. Apa pun, penemuan IC ini dilihat merumuskan sebagai peluang terbuka kepada kedua parti ini untuk berusaha meyakini dan memenangi hati pengundi untuk parti masing-masing menang dalam pilihan raya ini.

Menurut IC, kecenderungan pengundi itu mendapati 22 peratus daripada 486 responden adalah menyokong BN, manakala 15.6 peratus sahaja yang bersetuju dengan PAS.

Sebenarnya, penemuan IC itu agak berbeza dengan penemuan PKS dari segi pendangan responden yang rata-rata adalah pengundi Galas. Kajian PKS mendapati 18 peratus bersetuju BN boleh menang, sementara 33.9 peratus bersetuju bahawa PAS akan menang. Maka kajian PKS adalah selari antara jangkaan menang dengan penilaian responden terhadap ukuran populariti calon.

Kajian SMS

Sebuah NGO pencinta demokrasi turut melakukan kajian menerusi pendekatan sistem pesanan ringkas (SMS). Berpandukan hubungan SMS kepada pengundi menyentuh isu-isu antara calon yang bertanding di Galas mendapati 5.25 peratus atau 168 orang sahaja yang memberi respon daripada 3,200 senarai nama pengundi yang diSMS.

Walau pun jumlah respon itu kecil, ia mungkin satu sikap setara dengan kajian IC atau PKS yang menemui responden antara 3-5 peratus daripada jumlah pengundi 11,553. Bacaan daripada 168 SMS diterima balas pecahannya 9.52 yang menunjukkan sikap tidak bersetuju kepada calon PAS, 23.81 peratus menunjukkan sikap tidak berpihak kepada mana-mana calon dan 66.78 peratus bersetuju dengan calon PAS.

Penilaian akhir

Bagi pihak BN, kekuatan kempen dan usaha yang telah ditunjukkan membuktikan strategi mengekal sokongan 75 peratus kalangan pengundi OrangAsal amat kriktikal.

Peranan Jabatan Orang Asli amat agresif dan dilihat bersaingan dengan pihak PAS yang menggunakan jentera asal penah berkhidmat dengan Arwah Chek Hashim. Setakat ini, penerimaan Orang Asal terhadap peranan jabatan itu diragui ekoran adanya penyelewengan dan ketidakupayaan menguruskan projek bekalan air dan tanah tapak di beberapa pos Orang Asli.

Demikian pula, kalangan pengundi Cina jentera BN agak lemas dan lesu ekoran asakan jentera kempen PAS yang dibantu pimpinan DAP dan KeADILan. Ada kes kurang sambutan pengundi Cina terhadap kehadiran pemimpin kanan MCA yang hanya dihadiri puluhan pengundi sahaja di Bandar Gua Musang.

Sementara di kawasan tradisi PAS di Sungai Terah jentera BN juga kelihatan sulit untuk memikar hati pengundi di situ ekoran beberapa kecuaian pihak jabatan pembangunan persekutuan mengurus pojek yang dijanjikan.

Pihak Umno Gua Musang pula turut kecewa dengan pertukaran Ketua Kemas yang dianggap mempunyai akses baik dengan pengundi Melayu. Ini dianggap satu lagi contoh gangguan pihak luar terhadap kuasa-kuasa dan tidak hormatnya kepada Tengku Razaleigh Hamzah selaku ahli parlimen dan ketua bahagian.

Itu belum lagi dikorek isu-isu yang menyentuh nilai penerimaan sesama pemimpin Umno terhadap calon BN. Sejauh mana ketua wanita dan ketua pemuda boleh menerima calon yang kononnya pilihan terbaik Umno Bahagian Gua Musang adalah sesuatu yang diragui.

Atas asas ini, PAS mempunyai kekuatan kerana calonnya ada kelebihan. Namun tidak semestinya calon PAS diterima secara popular yang mampu menarik lebih 5peratus undi peribadi. Sekiranya calon PAS mampu menarik lebih 5 peratus maka undi popular itu bakal mengundang peluang kemenangan BN.

Walau bagaimanapun, strategi eksklusif dari segi pendekatan mengawal kelemahan (damage control) boleh dipakai oleh pihak berkepentingan. Antara strategi yang popular seperti disebut oleh pihak tertentu ialah kemungkinan projek kad pengenalan membolehkan pengundi khas hadir mengundi atas nama pengundi yang tidak hadir.

Projek ini dapat dijayakan dengan mengenalpasti nama pengundi yang tidak balik mengundi atas sebab-sebab tertentu. Lebih-lebih lagi hari mengundi memang dirancang oleh pihak SPR diadakan pada hari bekerja, Khamis 4 November.

Sudah pasti kekangan balik mengundi, terutama pengundi yang berada di luar Kelantan menjadi punca kemungkinan rendah jumlah balik mengundi. Kekangan ini memungkinkan kelebihan kepada strategi eksklusif apabila ada sindiket mengeluarkan kad pengenalan khas mempunyai akses pihak berkepentingan tersebut.

Soalnya sejauh mana wujudnya sindiket atau strategi eksklusif tersebut? Atau mungkinkah wujud pertimbangan pihak BN untuk menggunakan strategi sedemikian?

Walaupun begitu, strategi eksklusif yang selalu menjadi kegerunan pihak PAS adalah pendekatan membeli undi sebagaimana diuar-uarkan oleh Penasihat Pilihan Raya PAS Galas, Dato Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Beliau mendedahkan ada cubaan pihak tertentu menawarkan RM1,000 bagi membeli kad pengenalan dan sasarannya pengundi PAS. Begitu pula didedahkan ada usaha pihak tertentu merundingkan projek membawa balik pengundi khas dari Johor dengan bayaran RM1,000 seorang bagi mempastikan projek kad pengenalan khas berjaya.

Keseluruhannya, pada penilaian terakhir perjalanan kempen pilihan raya kecil Galas kali ini dilihat pihak BN begitu terdesak dengan senario dalaman Umno sendiri.

Justeru pihak PAS pula sedia menjayakan tindakan kempen yang bersifat pendekatan psikologi seperti menguar-uarkan isu bayaran pengurusan pengundi luar semata-mata untuk mendapat liputan media dan kesedaran pengundi balik mengundi.

Pertimbangan pantas di atas strategi eksklusif dan pendekatan berbeza antara BN dan PAS tersebut, memungkinkan kemenangan kepada masing-masing calon. Apa pun hanya seorang calon yang bakal menang, mungkin BN atau PAS yang menang.

Apa yang pasti senario di pihak BN dilihat lebih sukar mencapai kemenangan berbanding PAS. — harakahdaily.net

* Wan Nik Wan Yussof adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

Ulasan