MB Selangor : “Tidak lebih RM300,000”

SHAH ALAM — Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan Yayasan Selangor telah berbelanja RM800,000 untuk menganjurkan majlis makan tengah hari sempena ulang tahun ke-40 yang sepatutnya diadakan semalam.

Katanya, kos majlis itu masih kekal RM300,000 sebagaimana dimaklumkan sebelum ini. “Angka yang diberikan kepada saya hanya RM300,000 biar beliau (Noh Omar) tampil dan menjelaskan dari mana datangnya angka yang diberikannya itu,”katanya pada sidang media di sini, semalam.


Kelmarin, Timbalan pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh dilaporkan berkata, kos RM300,000 yang dibelanjakan yayasan itu sebenarnya adalah bayaran pendahuluan kepada sebuah syarikat yang didakwa ada kaitan dengan Kerajaan Negeri bagi menganjurkan majlis tersebut.


Noh mendakwa, kos sebenar majlis tersebut adalah melebihi RM800,000 selepas permohonan tambahan peruntukan sebanyak RM500,000 diluluskan. Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, siasatan awal kontroversi tersebut mendapati berlakunya penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar yayasan itu.


Abdul Khalid yang juga pengerusi yayasan tersebut berkata, bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Mohd Sharifuldin Sulaiman mengambil cuti selama sebulan berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan selesai.


“Kerajaan menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab. “Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salah guna kuasa ke muka pengadilan,” katanya.


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak hadir ke majlis berkenaan kerana dukacita setelah dimaklumkan perbelanjaan melebihi RM300,000. Sabtu lalu, Noh mendakwa pembaziran dalam penganjuran majlis itu bukannya melebihi RM300,000 seperti yang dilaporkan sebelum ini tetapi melebihi RM800,000.


Pengurus Besar Yayasan Selangor Ilham Marzuki sebelum ini dilaporkan berkata, kos sebenar adalah RM285,000 untuk penyediaan makanan jemputan khas seramai 200 orang kenamaan dan 2,000 tetamu lain.


sinarharian

Ulasan