Majlis Peguam bidas Mahkamah

KUALA LUMPUR 26 NOV : Majlis Peguam Malaysia berpendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat perbicaraan adil apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terus enggan membenarkan beliau mendapat dokumen-dokumen relevan bagi membela diri.Mahkamah sebelum ini menghalang pasukan guaman Anwar meneliti tiga nota klinikal doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang melakukan pemeriksaan awal terhadap pengadu Saiful Bukhari Azlan. Anwar juga tidak dibenarkan mendapat kenyataan Saiful kepada polis dan bahan bukti lain.Semalam mahkamah hanya membenarkan Anwar mendapatkan laporan proforma yang disediakan oleh pakar patologi Hospital Besar Kuala Lumpur(HKL), Dr Siew Shueue Feng.

Laporan proforma ialah borang atau senarai yang disediakan oleh doktor sebelum melakukan pemeriksaan terhadap seseorang pesakit.Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan menganggap keputusan mahkamah sebagai regresif dan tidak memberikan hak perbicaraan yang adil kepada tertuduh."Mereka (Mahkamah) telah 'melemahkan' prinsip penting ini (untuk memastikan perbicaraan adil), " kata beliau merujuk kepada seksyen 51 A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) yang merangkumi hak mendapatkan dokumen dan maklumat dalam perbicaraan.

Ragunath juga menerangkan seksyen ini dibuat bertujuan mengimbangkan hak pendakwaraya dan peguambela demi menentukan perbicaraan adil."Kami percaya seksyen 51 A KPJ ini dibuat bagi memperkembang dan memperkuat prinsip pengawalan terbitan dokuman dan kerajaan menzahirkan niat mereka untuk menambah ketelusan dan keadilan dalam sistem pengadilan jenayah negara ini," kata beliau.Antara dokumen yang dihalang oleh Mahkamah untuk Anwar ialah laporan ahli kimia, nota-nota perubatan, rakaman CCTV, sampel DNA, kenyataan saksi dan senarai saksi.

Ragunath menyatakan bahawa amat penting bagi pasukan pendakwaan membentangkan semua maklumat kepada mahkamah agar hakim boleh membuat keputusan yang adil dan tidak bias."Adalah tanggungjawab semua pihak termasuk hakim untuk memastikan pihak pendakwaan mematuhi seksyen ini dan memberi maklumat kepada pihak terbabit dan menunjukkannya di Mahkamah," kata beliau.Ragunath mendakwa keengganan mendedahkan dokumen atau maklumat akan menjejaskan persepsi awam terhadap sistem pengadilan negara ini.
"Majlis Peguam Malaysia mendesak Mahkamah melaksanakan seksyen ini ...bagi mengekalkan hak seseorang yang tertuduh dan bagi menegakkan keadilan. Perkara ini bukan saja relevan dalam kes Anwar tapi juga demi kepentingan seluruh sistem kehakiman, " kata Ragunath lagi.

TVSNEWS

Ulasan