Hillary hubungi Anwar bertanya kes liwat II

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton disahkan ada menghubungi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam untuk bertanya tentang keadaan beliau, isterinya dan juga kes liwat kedua yang sedang dihadapiny, lapor TV Selangor.

Anwar juga memaklumkan tiada pertemuan empat mata dengan Clinton tetapi memberitahu, bekas wanita pertama Amerika itu meminta maaf kepada isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana gagal bersapa dengan beliau pada satu majlis di ibu negara pagi semalam.

“Beliau bertanya tentang saya dan Azizah dan juga meminta maaf kerana pada majlis pagi ini (semalam), beliau hanya diberitahu tentang kehadiran Azizah selepas berakhirnya majlis itu.

“Dan, beliau meminta saya menyampaikan salamnya dan meminta maaf kerana tidak menyedari kehadirannya ketika dialog itu,” kata Anwar selepas satu majlis kempen di sebuah restoran di Sandakan semalam.

Tambah Anwar , Clinton juga memperlihatkan keprihatinan berhubung kes liwat II yang sedang dihadapinya sekarang dan memaklumkan bahawa kerajaan Amerika Syarikat mengikuti dengan rapat kes tersebut – yang kedua dalam sedekad ini.

“Beliau bercakap mengenai keadaan saya dan saya memberitahu beliau bahawa saya perlu melalui proses perundangan sewajarnya.

“Beliau mengatakan bahawa Amerika Syarikat ambil berat dan mahu kerajaan Malaysia menghormati lunas perundangan,” kata Anwar lagi yang berada di Batu Sapi.

Bernama sebelum ini melaporkan kerajaan tidak mempunyai halangan bagi Clinton untuk menemui ketua pembangkang itu kerana sudah menjadi adat bagi para pemimpin untuk bertemu kedua-dua pemimpin kerajaan dan pembangkang dalam mana-mana lawatan negara.


Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagaimanapun berkata tindakan itu pada masa ini tidak akan membawa petanda baik memandangkan perbicaraan kes liwat II Anwar masih berjalan dan kerajaan tidak mahu ia memberi isyarat yang salah kepada rakyat.

“(Tambahan pula) kerajaan BN kini menghadapi pilihan raya kecil di Galas (Kelantan) dan kawasan Parlimen Sabah (Batu Sapi) jadi kita tidak mahu individu atau pihak tertentu untuk menyalah tafsir bahawa Amerika Syarikat atau Setiausaha Clinton membantu orang ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar bersama dengan Clinton di Putrajaya, semalam.

Clinton, yang tiba malam Isnin lalu, adalah dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia. Sebelum itu, Anifah dan Clinton mengadakan mesyuarat dua hala berhubung isu antarabangsa dan serantau untuk kepentingan bersama.


Clinton, ketika ditanya sama ada beliau akan bertemu Anwar lewat hari ini berkata, para pegawai dari Amerika Syarikat dan Jabatan Negara sentiasa berhubung dengan Anwar, kami akan terus berhubung dengannya dan kami memantau kesnya dan seperti apa yang disebut Menteri Luar mengenai perbicaraan yang terbuka dan bebas, itu yang sebenarnya kami jangkakan.

Beliau berkata perkara mengenai pendakwaan Anwar, yang didakwa sebagai bermotifkan politik oleh sesetengah pihak, juga dibincangkan dalam mesyuarat.

“Sudah diketahui umum bahawa Amerika Syarikat percaya adalah penting bagi semua aspek kes ini untuk dikendalikan dengan adil dan telus dan sebaliknya yang meningkatkan keyakinan dalam kedaulatan undang-undang di Malaysia.

“Kedutaan kami mengekalkan hubungan baik dengan parti pemerintah dan pembangkang memandangkan disiplin penting dalam proses demokrasi di Malaysia dan kami akan terus menyokong pembangunan pesat Malaysia dalam mengukuhkan institusi demokrasi dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Anifah juga mengulangi bahawa beliau akan memastikan Anwar mendapat perbicaraan yang adil kerana jika wujud “pendakwaan berunsur politik'' ia boleh berlaku kepada sesiapapun.


Malaysiakini

Ulasan