Anwar: Kami memang sudah jangka Gobala akan keluar PKR

TERKINI @ 03:31:48 PM 30-01-2011
January 30, 2011

SHAH ALAM, 30 Jan — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan N. Gobalakrishnan meninggalkan PKR berkuat kuasa semalam sudah lama dijangkakan sambil menolak ia akan membawa kesan jangka panjang ke atas parti itu.

Gobalakrishnan merupakan ahli Parlimen keenam meninggalkan PKR sejak setahun lalu dengan memberikan alasan beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti khususnya Anwar, yang merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Kami sudah lama menjangkakan yang ini, melihat pada trendnya, tidak, tidak ini bukan sesuatu yang mengejutkan,” kata Anwar (gambar) kepada pemberita hari ini.

Anwar mengesahkan bahawa Gobalakrishnan tidak membalas surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya dan begitu juga tidak memberika surat formal mahu meninggalkan parti.

“Setakat ini apa yang kami ada ialah beliau telah melepaskan jawatan (dalam parti, dibuat menerusi sidang media dan Twitter),” kata Anwar.

Ketika ditanya sama ada Gobalakrishnan ada bercakap dengan beliau baru-baru ini mengenai rungutannya mengenai parti, Anwar berkata:

“Tidak.” “Kali terakhir beliau bercakap secara peribadi dengan saya ialah ketika di Parlimen,” kata Anwar sebelum memasuki keretanya.

Pada sidang media di Kulim semalam, Ahli Parlimen Padang Serai itu yang mengisytiharkan dirinya keluar dari PKR untuk menjadi wakil rakyat Bebas berkata, beliau sudah “bosan” dengan kepimpinan Anwar dan timbalan presiden Azmin Ali.

Wakil rakyat itu meningkatkan serangan ke atas kedua-dua pemimpin itu akhir tahun lalu, memberi bayangan bakal keluar PKR.

“Saya sudah fed up (bosan) dengan (Penasihat PKR) (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) serta (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali, yang kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR,” kata Gobalakrishnan, 50.

Dengan keputusannya itu, katanya beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai. Bagaimanapun, katanya beliau tidak akan mengeluarkan sebarang surat mengenai perkara itu kepada PKR.

Gobalakrishnan berkata, beliau bersama beberapa orang temannya terdiri daripada peguam, jurutera, doktor dan lain-lain akan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperjuangkan dan menjaga kepentingan pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai.

Gobalakrishnan berkata pengorbanan dan perjuangan yang dilakukannya selama 12 tahun menjadi anggota parti itu tidak pernah dihargai dan merasa amat kecewa dengan sikap Anwar dan Azmin yang mengambil sikap membisu seribu bahasa terhadap semua komennya termasuk dalam Twitter beliau sejak dua bulan lalu.

Beliau berkata selama ini tindakan Anwar bukan sahaja memperkudakan kaum Melayu dan Cina sahaja dalam mencapaikan cita-citanya tetapi kaum India juga tidak terkecuali.TheMalaysiaInsider

Ulasan