Peluang Cerah Pas Menang PRK Tenang


Tenang: Pengundi campuran sangat baik

Hazayani Zakaria

LABIS, 2 Jan: PAS tidak akan mengikut cara Umno BN yang membangkitkan semangat perkauman kerana ia bercanggah dengan fitrah Islam, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau sebaliknya berkata, PAS dan Pakatan Rakyat sedang berusaha menarik semua kaum untuk bersama-sama dalam perjuangan menegakkan kebenaran.

Hal ini, tegasnya selaras dengan tujuan Allah menciptakan pelbagai kaum untuk memberikan sumbangan mengikut kelebihan masing-masing.
"Saya menarik perubahan berlaku di kawasan pengundi campuran. Melayu, Cina dan India, kita berjaya menghantar wakil ke Dewan Undangan Negeri.

"Di Tenang ini juga pengundinya campuran. Ini satu campuran yang sangat baik.
"Kita tidak mahu menggunakan cara Umno membangkitkan semangat perkauman yang tidak ada sifat Islam," katanya ketika berucap di majlis pelancaran gerak kerja pilihan raya bagi PRK N.05 Tenang, dekat sini malam tadi.

Menurut beliau, Allah tidak melarang manusia mencintai kaum masing-masing namun tidak boleh berlebihan sehingga menzalimi kaum lain.
"Tak salah kita sayang pada bangsa, pada kaum kerana Allah menjadikan manusia pelbagai kaum dan bangsa.

"Allah menjadikan pelbagai bangsa dengan keistimewaan masing-masing. Cina, Melayu dan India ada keistimewaan mereka yang boleh memberikan kemajuan kepada negara.
"Ini yang perlu diatur dengan baik. Jangan lakukan serangan kaum dan menzalimkan kaum lain," katanya di hadapan lebih 1,000 rakyat yang hadir.
Tegasnya, PAS bersama Pakatan Rakyat akan menggantikan Umno untuk melakukan perubahan terhadap sistem yang diperkenalkan Umno lebih 50 tahun dahulu.
"Akibat Umno memperkenalkan semangat lain selain Islam, Melayu dan Islam hilang entah ke mana.

"PAS akan ganti Umno untuk melakukan perubahan. Kita buktikan di Terengganu dahulu disebabkan kita ada hasil minyak,kita berjaya menghapuskan cukai pintu," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat khusunya pengundi di Johor agar membuka minda untuk melakukan perubahan dengan memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.
"Sebab itu kita minta pengundi memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat untuk kita buktikan bahawa kita mampu membuat perubahan secara perlahan-lahan.
"Kita tidak mahu memaksa pengundi,tapi mahu mereka berfikir dan menilai mana yang baik dan mana yang buruk," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden, Salahuddin Ayub, bendahari, Dr Hatta Ramli, Pesuruhjaya Johor Dr Mahfodz Muhammad, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin dan ahli jawatan kuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman sebagai pengerusi majlis.

Kaunter tandatangan kempen "Katakan Tidak Kepada Isa Samad" turut dibuka malam tadi.HarakahDaily

Ulasan