Isu Agama: 'Jangan Menangguk Di Air Keruh' Nasihat Dr Asri


SHAH ALAM 21 JAN: Rakyat Malaysia diminta tidak terbabit dalam sebarang bentuk tindakan ekstremisme yang boleh mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini, kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Menyifatkan sebagai ada pihak yang "menangguk di air keruh" beliau meminta rakyat agar mengambil pendekatan sederhana dalam memberi pandangan dan tindakan dengan menerapkan nilai-nilai murni seperti kebebasan beragama, toleransi, keamanan dan kesaksamaan tanpa menyentuh sensetiviti agama masing-masing.

"Melaga-lagakan isu perkauman itu dijadikan isu. Setiap hari dibangkitkan macam permusuhan kaum, permusuhan agama. supaya ada barangkali setengah pihak suka benda ini berlaku untuk membolehkan mereka "menangguk di ari keruh" apabila berlaku hal sebegini, maka berlaku ketegangan.

"Sesetengah orang ekstremis dan cuba untuk berkeras dengan pandangan mereka sahaja," katanya.

Beliau turut mengaitkan isu seperti ini timbul apabila pihak media sengaja menghangatkan isu tersebut sehingga berlaku salah faham dikalangan rakyat.

Semalam, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Kajang selepas menerima sepucuk surat ugutan terhadapnya.

Pembantu peribadinya, Chen Fan Dao memberitahu, beliau yang bertugas di pejabat DAP cawangan Kajang Baru menemui seekor ayam yang dipenuhi darah digantung pada pintu masuk pejabat mereka.

"Bila media mengapikan isu perkauman, tidak mustahil bila ada implikasi tindakan tak terkawal yang dibuat rakyat bawahan yang tidak tahu agenda pihak tertentu dan dibakar oleh media tertentu," katanya.

Dr Asri turut menyifatkan isu perkauman yang dimainkan sejak mutakhir ini adalah tindakan provokasi tidak bertanggungjawab semata-mata demi kepentingan serta agenda pihak tertentu dengan memainkan isu sensitif berhubung kejadian tersebut.

"Adanya tafsiran Islam yang agak sempit apabila ada isu orang bukan Islam tak boleh masuk masjid, tak boleh petik ayat quran, walaupun betul. Ini semua isu yang cuba di sempitkan. Ini memberi ruang untuk pihak-pihak menimbulkan provokasi kerana ada kepentingan tertentu," jelasnya.

Beliau turut menambah, apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah cara penafsiran yang bersifat peribadi oleh setiap individu dengan menggunapakai nilai-nilai perkauman dan agama tanpa berpandukan asas yang sebenar.

"Ini kita lihat dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa agensi kerajaan.

"Hal ini berlaku mungkin sudah timbul kebencian agama. Kalau ini berlaku amat mendukacitakan, kita fikir kenapa sekarang berlaku? Sebab ada pihak tertentu yang membakar semangat seperti ini," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, insiden rambut remaja Sikh dipotong di PLKN Sungai Bakap di Seberang Prai, 16 Januari lalu menimbulkan persoalan sejauh mana program PLKN mampu mendidik pesertanya agar menjaga sensiviti kaum demi mengekang ketegangan kelak.

Insiden terbaru itu membuktikan kritikan Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa program PLKN tidak berperanan melahirkan pembangunan modal insan meliputi semua aspek, adalah tidak meleset.TVSNEWS

Ulasan