Pertemuan 24 Dis: Pakatan 110 peratus komited, Umno takut

TERKINI @ 06:21:29 PM 06-01-2011
January 06, 2011

SHAH ALAM, 6 Jan – Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menggambarkan Pakatan Rakyat seratus peratus komited dan tidak kerjasama tergugat walaupun pemimpin PAS mengadakan pertemuan atas jemputan Umno di Istana Terengganu akhir bulan lalu.

Pemimpin-pemimpin PKR dan DAP menuntut penjelasan rasmi PAS meskipun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) memberikan penjelasan kelmarin.

“Saya yakin Pakatan Rakyat seratus peratus komited, apa yang berlaku ialah ketakutan pihak Umno, bukan senang nak mengadakan pertemuan dengan perdana menteri dan timbalan perdana menteri pada masa yang sama,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

“Ini menunjukkan betapa hebatnya PAS dan Pakatan Rakyat, kalau PAS sahaja mereka tak jumpa... ini kekuatan Pakatan Rakyat, mereka sudah mula tergugat dan bimbang.

“Pakatan Rakyat tak terjejas kerana pertemuan ini,” kata beliau merujuk kepada laporan media mengenai pertemuan itu.

Ketika ditanya sama ada wajar PAS memberikan penjelasan rasmi sebagaimana diharapkan oleh rakan komponen mereka dalam Pakatan Rakyat – PKR dan DAP, Khalid yang juga anggota biro politik parti Islam itu berkata:

“Saya merasakan perlu dan saya sudah pasti PAS akan berbuat demikian, walaupun bukan secara terbuka tetapi dalam mesyuarat kepimpinan Pakatan Rakyat.”

“Apa pun saya masih yakin pemimpin Pakatan dan parti komponen masih percaya antara satu sama lain,” katanya.

“Pada konvensyen di Pulau Pinang, kita buat komitmen, kita semakin rapat,” katanya sambil menegaskan PAS sudah pun membuat keputusan menolak sebarang bentuk kerjasama politik atau kerajaan perpaduan dengan Umno.

“Apa sekalipun yang penting pemimpin-pemimpin PAS sudah memutuskan bahawa soal kerajaan perpaduan atau kerjasama politik sudah ditolak oleh ahli-ahli.

“Apa pun yang dibincangkan, sudah tidak perbincangan seperti itu dan tidak keinginan (ke arah itu),” katanya lagi.

Pagi tadi, The Malaysian Insider melaporkan, pertemuan pemimpin-pemimpin kanan PAS dengan presiden dan timbalan presiden Umno mencetuskan rasa tidak senang di kalangan rakan mereka dalam PKR dan DAP yang turut mahukan penjelasan rasm parti Islam itu.

Justeru mereka mahu PAS mendedahkan butiran hasil perbincangan itu.

Kata Khalid, pertemuan tempoh hari juga menunjukkan “betapa terdesaknya Umno-BN mahu menggunakan atau memberi idea supaya Yang di-Pertuan Agong menjemput pemimpin-pemimpin PAS hadir.”

Kata beliau, Umno-BN sedar bahawa PAS tidak akan hadir jika pihak berkenaan yang mengundang menghadiri seumpama itu.TheMalaysiaInsider

Ulasan