Himpunan Bersih: Pembuka jalan politik baru

Perhimpunan Bersih 2.0 telah mengundang berbagai tindak balas dari penyokong Barisan Nasional. Dari respon persatuan-persatuan peniaga kepada yang paling ekstrim dalam bentuk ancaman membunuh Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga.

Walau apa sekalipun respon dan alasan, kesemuanya bertujuan untuk menghalang berlakunya himpunan ini. Respon dan tindak balas sebegini merupakan bukti betapa BN amat gentar dengan himpunan yang akan diadakan pada 9 Julai nanti.

Mereka khuatir kerana perhimpunan ini bakal merupakan pembuka jalan kepada era politik baru dan penamat kepada politik pimpinan BN.

Hakikatnya, rakyat semua mengetahui bahawa Pilihan Raya yang dianjurkan selama ini adalah tidak adil, berat sebelah dan diurus dengan tujuan untuk memenangkan BN.

Pilihan Raya dan kebebasan bersuara yang dibenarkan sekadar untuk memberikan persepsi adanya demokrasi, tetapi tahapnya dikawal supaya tidak menjejas kedudukan BN. Dalam keadaan begitu sekalipun BN telah dapat dikalahkan di beberapa negeri pada tahun 2008.

Sekiranya Pilihan Raya pada ketika itu diadakan secara bebas dan bersih, dengan diberi semua pihak akses kepada media perdana, tiadanya undi pos dan lain-lain seperti terkandung dalam tuntutan BERSIH (1), insyaAllah sudah pasti BN akan dapat dikalahkan diperingkat Kebangsaan juga.

Oleh yang demikian, Bersih (2) perlu diteruskan supaya BN memahami bahawa rakyat tahu bagaimana mereka telah ditipu selama ini dan bagaimana penipuan ini mengekalkan sebuah kerajaan yang telah hilang kredibiliti serta legitimasinya dalam kedudukan berkuasa.

Kerajaan BN wajib menghormati rakyat dan itulah sebenarnya intipati tuntutan Bersih. Iaitu supaya suara dan kehendak rakyat dalam memilih kerajaan yang ingin diamanahkan dengan kuasa pemerintahan dihormati dan diterima. Tanpa adanya sebarang usaha penyalahgunaan kedudukan dan kekuasaan untuk menentukan pilihan rakyat melalui proses pemilihan yang berat sebelah lagi songsang.

Sekiranya melalui proses pemilihan yang Bersih ini rakyat menolak BN di peringkat Negeri dan Negara, maka BN wajib menerima pilihan rakyat dan berundur secara terhormat. Itulah intipati demokrasi. Bukan hanya sebagai cogankata dan retorik semata-mata, sambil pandangan dan pendapat rakyat dikuasai dan kehendak rakyat dinafi melalui proses yang tercemar.

Semua yang ingin menghalang Bersih, samada PERKASA, Pemuda UMNO atau pihak Polis sekalipun, hanya menzahirkan keinginan untuk mempertahankan sesuatu yang ditolak rakyat, iaitu proses Pilihan Raya yang dicorakkan mengikut kepentingan BN.

Sepatutnya mereka, lebih-lebih lagi pihak Polis, berdiri bersama rakyat dalam usaha membersihkan proses pilihan raya. Supaya penipuan terhadap rakyat dan kekuasaan ke atas rakyat melalui penipuan ini dapat dihentikan. Himpunan Bersih merupakan usaha mulia, tuntutan adil lagi berasas dan menepati kehendak Syariat Islam dan Perlembagaan Negara; sepertimana yang telah dinyatakan oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Prof. Aziz Bari.

Oleh itu, pihak Polis sepatutnya menjaga dan melindungi peserta himpunan, menjaga lalu lintas supaya kesan kesesakan dikurangkan, menjaga keselamatan peserta supaya tiada sebarang provokasi dan dengan itu ianya akan berjalan dengan selamat dan aman.

Sepatutnya PERKASA dan Pemuda UMNO turut bersama menyokong dan bukan bertindak-balas seperti sekarang. Namun, hakikatnya, mereka bukan mementingkan rakyat dan hak rakyat. Mereka hanya mementingkan status quo dan usaha mempertahankannya walaupun rakyat inginkan ianya ditukar.

9 Julai 2011, tarikh keramat, tarikh perubahan, tarikh kebebasan. Saya berharap agar warga Shah Alam khususnya dan Malaysia amnya akan bersama saya, turun pada hari itu untuk bersama-sama mencatat sejarah di bumi Malaysia yang kita cintai.

KHALID SAMAD

Ulasan