Ucapan Dasar: PKR, DAP puji komitmen PAS

KUALA LUMPUR, 3 Jun: Ucapan dasar Presiden PAS bertemakan "Membangun Negara Berkebajikan" di Muktamar PAS Pusat kali ke-57 mendapat reaksi positif daripada rakan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang hadir sebagai tetamu ke muktamar yang bermula hari ini di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) berkata, ucapan dasar tersebut mempunyai mesej yang jelas mengenai peranan PAS untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.

"Satu ucapan yang dinamik yang merangkumi pelbagai aspek untuk kita menghadapi pilihan raya dan juga memberi mesej kepada ahli PAS sendiri dalam pemilihan kali ini.

"Satu ucapan yang memberangsangkan dan memberi peringatan dan merangkumi semua aspek yang saya rasa begitu baik sekali," katanya kepada pemberita selepas selesai majlis perasmian muktamar tengah hari tadi.

Ditanya mengenai pandangan beliau bahawa wujudnya perbezaan pendapat di kalangan rakan Pakatan, beliau berkata Pakatan selalu berbincang dan mempunyai objektif yang jelas.

"Kita memang selalu berbincang.Itu lainnya Pakatan dengan BN.BN tak boleh bincang kena ikut sahaja.Ini perhubungan yang dinamik,ada perbezaan pendapat tapi ada objektif yang utama," katanya.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution pula menyifatkan ucapan itu sebagai konfrenhensif dan merangkumi pelbagai perkara untuk menghadapi PRU 13.

Beliau berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara jelas menyebut mengenai pelan orientasi bagi menghadapi PRU 13 dan rancangan PAS untuk mengukuhkan lagi Pakatan.

"Fungsi dan tugas-tugas penting cawangan-cawangan dalam PAS, Dewan Muslimat dan Pemuda disebutkan.

"Ucapan bersifat dalaman, kritikan terhadap isu negara amat kurang tapi lebih fokus kepada membina kekuatan dalaman sebagai prasyarat menghadapi BN," kata beliau kepada pemberita selepas selesai majlis perasmian muktamar tengahari tadi.

Zahir kebersamaan dalam PR

Sementara itu, ahli Parlimen Seputeh daripada DAP, Teresa Kok berkata ucapan dasar tersebut telah menzahirkan arah dan tujuan PAS bersama Pakatan Rakyat.

"Dalam ucapan ada disebut hubungan PAS dalam Pakatan yang mana kita perlu ada kerjasama yang lebih erat. Memang ini satu tanda yang menunjukkan Pakatan Rakyat akan terus teguh dan bekerjasama menuju Putrajaya.

Beliau juga melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian muslimat PAS yang menjadi golongan penting dalam penggubalan dasar negara.

"Saya rasa sangat gembira kerana dalam PAS sendiri ada wakil rakyat di Dun, Parlimen dan Senator.

"Saya harap muslimat PAS akan terus mengembangkan pengaruh dalam parti dan memainkan peranan ke arah pusat," katanya.HarkahDaily

Ulasan