Kerusi Melayu: Cabaran besar PAS pada PRU 13

KUALA LUMPUR, 18 Jun: PAS berhadapan cabaran besar apabila perlu memastikan lebih banyak kerusi diwakili Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, ini kerana orang Melayu masih terperangkap dalam dilema untuk membuat perubahan berbanding orang Cina yang dilihat sudah mempunyai azam yang kuat untuk menolak BN.

Orang Melayu dakwanya masih ragu-ragu melakukan perubahan jika melibatkan kepimpinan bukan Melayu berpunca daripada mainan media arus perdana.

"Saya ucap tahniah kepada pengundi-pengundi Cina mereka ada niat yang baik untuk berubah walaupun Tun Dr. Mahathir kata orang Cina tidak mengenang jasa.

"Tapi bagi saya orang Cina ada sebab yang kukuh untuk menolak BN. Malang sekali orang Melayu masih dalam dilema untuk membuat perubahan.

"Orang Melayu lebih berhati-hati memasuki sempadan baru kerana mereka lebih meletakkan rasa bimbang yang lebih daripada rasional berfikir yang biasa.

"Kalau kita mengapi-apikan atau membuat kenyataan yang tidak rasional,orang Melayu tak akan undi Pakatan.

"Kemenangan nanti adalah tidak seimbang, samaada Pakatan Rakyat terlalu banyak kerusi bukan Melayu dan kerusi Melayu dipegang Umno dan kalau Pakatan berkuasa pada waktu itu kita kekurangan wakil orang Melayu.

"Ini sedikit sebanyak memberi ketidakseimbangan politik," kata beliau dalam forum bertajuk Cabaran Transformasi Parti Politik: Ke Arah Pertengahan dalam Kemajmukan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-Kuala Lumpur (KLSCAH) malam tadi.

Beliau yang juga exco Kerajaan Kelantan berkata, jika Pakatan berjaya mengambil 60 kerusi daripada Umno, Pakatan boleh menubuhkan kerajaan baru yang dapat memberikan kestabilan kepada politik negara kita.

Tambahnya juga, jika pengundi Cina konsisten membuat perubahan seperti pilihan raya umum Sarawak, Pakatan dapat menumbangkan BN.

Pilihan raya Sarawak yang lalu menyaksikan sokongan kaum Cina meningkat sebanyak 15.8 peratus menjadikan jumlah keseluruhannya 75.4 peratus, berbanding dengan kaum Melayu.

"Kita lihat trend ini berterusan di Sabah, Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Selangor, maka kita dapat tambahan kerusi sebanyak 27 kerusi Parlimen berbanding 82 kerusi (sekarang).

"Selepas pilihan raya umum ke 13 kita mempunyai 109 kerusi, tidak cukup lima kerusi untuk tubuh kerajaan baru.

"Jadi sekarang saya merayu tambah lagi sepuluh kerusi Parlimen untuk Pakatan Rakyat," katanya di hadapan kira-kira 50 hadirin,majoriti kaum Cina.

Turut menjadi panel adalah penyelidik politik Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng dan pemerhati politik Lee Ban Chen.

Mengulas sedikit mengenai kabinet PAS yang baru, beliau berkata kebolehan pasukan ini akan diukur berdasarkan pencapaian PAS pada PRU ke-13.

"Tugas PAS adalah besar untuk menghadapi pilihan raya. Masa kita suntuk untuk merangka pelan kemenangan pilihan raya samaasa berjaya atau tidak dan pasukan ini akan diukur dengan kejayaan pilihan raya.

"Kalau pilihan raya ini Umno menang besar, habis.Pemilihan akan datang mungkin orang tak akan pilih saya beban itu adalah berat," katanya.

Ujarnya juga, muktamar PAS baru-baru ini juga menyaksikan perubahan positif orang bukan Melayu terhadap PAS terutamanya apabila PAS mengutarakan konsep Negara Berkebajikan sehingga menggerunkan Umno.

"Kesan positif muktamar ialah perubahan keyakinan terhadap PAS sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai. Saya sangat bersyukur dan berbangga dengan pengharapan ini," katanya.

"Negara berkebajikan bukan sahaja untuk pilihan raya tetapi itulah inti kepada Islam.

"Oleh itu umno serang kita, Utusan Malaysia serang kita dan bila mereka serang saya rasa kita sudah berjaya.

"Kalau Umno puji kita saya rasa sangat takut kerana kita di dalam poket mereka dan saya rasa kita di luar poket Umno.

Justeru ujarnya, PAS perlu menyediakan minda yang betul untuk menggantikan Umno.

"PAS harus ganti Umno dengan minda yang betul dan sikap yang betul.

"Untuk bina polisi yang tepat kita memerlukan pandangan daripada semua pihak dalam memberikan input supaya dapat rangka polisi yang baik.

"Dalam masa yang singkat mungkin dalam masa dua tiga bulan ini kita kena selesaikan engagement kita dengan semua pihak untuk meletakkan satu pelan kemenangan agar kita dapat menuju Putrajaya dengan semua kaum berasa selesa," katanya.

Turut menjadi panel adalah penyelidik politik Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) Ooi Heng dan pemerhati politik Lee Ban Chen.HarakahDaily


Ulasan