Power Gila!!!! Malaysia Gagah Atasi Lubnan

SKUAD Olimpik negara mara ke pusingan peringkat kumpulan Kelayakan Zon Asia Sukan Olimpik London 2012 selepas menewaskan Lubnan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Anak didik Ong Kim Swee tidak membuang masa apabila menguji gawang pelawat yang dikemudi Mohamad Dakramanji menerusi percubaan.

Penyerang sensasi, Irfan Fazail menggegar jaring Lubnan apabila melepaskan sepakan padu dalam kotak penalti untuk meletakkan pasukan Harimau Malaya di hadapan pada m-8.

Perlawanan rancak kedua-dua pasukan terhenti seketika selepas pemain Lubnan mendakwa terkena pancaran laser dari penyokong Malaysia.

Lubnan hampir menyamakan kedudukan pada m-35, namun tendangan kencang Mohamad Haidar sekadar singgah di palang gol negara.

Suasana stadium kembali gegak gempita pada m-41 apabila Wan Zack Haikal Wan Nor menjaringkan gol kedua selepas berlaku kelam-kabut depan gawang pelawat.

Shahrul Azwari sepatutnya mengukuhkan kedudukan jika tidak percubaannya tersasar sebelum babak pertama ditamatkan.

Babak kedua memperlihatkan anak didik Samir Saad mula menyusun strategi dan melancarkan gerakan berbahaya ke kubu tuan rumah.

Malang buat pasukan negara apabila Malaysia terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain gara-gara Gary Steven Robbat dibuang padang pada m-50 selepas mengutip dua kad kuning akibat mengasari pemain lawan.

Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin pasukan Lubnan dan hasilnya pada m-53 pelawat berjaya merapatkan jurang melalui Chadi Atie menewaskan Khairul Fahmi Che Mat yang sudah tertewas.

Kehilangan Gary amat dirasai kem negara kerana pasukan Asia Barat itu melancarkan serangan dari segenap arah.

Pada 10 minit terakhir, skuad negara diasak bertubi-tubi namun berjaya mengekalkan kelebihan jaringan sehingga ke tiupan wisel penamat.

Kemenangan itu memastikan Malaysia layak ke saingan kumpulan dan majlis undian berkenaan dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, 7 Julai depan.

Kali terakhir skuad negara beraksi di Sukan Olimpik kira-kira 39 tahun lalu di Munich, Jerman.SinarHarian

Ulasan