Sejarah ikut Islam perlu sahih - DR Asri

SHAH ALAM - Islam menekankan beberapa asas penting dalam menilai sejarah, Sesiapa menuduh atau menghukum orang hanya kerana terpengaruh dengan riwayat sejarah, tanpa membuat semakan dan kajian seperti yang al-Quran arahkan adalah berdosa.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, walaupun ramai yang mengatakan sejarah tidak boleh diubah, manusia boleh menipu fakta sejarah membuatkan ia berbeza.

“Peristiwa lampau kita tidak saksikan sendiri, boleh menjadi kepada zenar dan palsu selepas diceritakan semula.

“Jika kita menerima daripada sumber benar, persepsi kita terhadap sesuatu peristiwa mungkin akan benar. Itu pun bergantung kepada aliran pemikiran kita pegang,” katanya.

Menurutnya, Islam menekankan beberapa asas penting dalam mengkaji sejarah iaitu kebenaran sesuatu fakta, sejauh manakah sesuatu riwayat boleh dipercayai.

“Islam amat ambil kira soal sumber sesuatu riwayat yang dipetik. Dalam ilmu hadis khususnya, ada bab ‘rijal al-hadith’ iaitu ilmu yang mengkaji latar belakang perawi (narator).

“Sifat amanah perawi akan dikaji, kekuatan ingatannya, kemungkinan pertemuannya dengan perawi sebelumnya dan pelbagai lagi, kemudian, riwayat yang dibawa itu akan dibandingkan dengan para perawi lain yang lebih dipercayai untuk dinilai, demikian susahnya sebuah hadis hendak mencapai darjat ‘sahih’.

“Dalam Islam, maklumat sejarah biasa sekalipun tidak diketatkan syaratnya seperti hadis, namun soal sumber yang dipercayai itu tetap penting. Ini terutama apabila membabitkan maruah atau tuduhan terhadap pihak tertentu,” katanya semalam.

Menurutnya, Muhammad bin Somil al-Salma dalam tesisnya ‘Manhaj Kitabah al-Tarikh al-Islamiy wa Tadrisuhu’ (Metodologi Penulisan Sejarah Islami dan Kajiannya) menyebut, riwayat sejarah apabila berkaitan hukum syarie seperti halal dan haram, atau berkaitan mencerca seseorang muslim, pertikaikannya, atau beri gambaran buruk mengenainya kepada orang lain, maka mestilah dipastikan kedudukan perawinya dan dikenali pembawa beritanya.

“Di dalam al- Quran, menyebut, “Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu”.

“Ini penting, ramai yang menjadi mangsa cemuhan dan tohmahan hanya disebabkan sumber yang khianat dan menyeleweng dalam menyampai sesuatu berita. Dalam kehidupan seharian yang watak-watak masih hidup pun, banyak penipuan fakta, pembohongan dan fitnah,” katanya.

Menurut Asri, pembohongan lebih mudah dilakukan apabila membabitkan orang yang sudah tiada, sesiapa yang menuduh atau menghukum orang lain hanya kerana terpengaruh dengan riwayat sejarah, tanpa membuat semakan dan kajian seperti yang al-Quran arahkan, maka dia berdosa dan akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak kerana fitnah serta menuduh tanpa asas.

Tambahnya, walaupun sudah memperoleh sumber yang diyakini, masih tidak mencukupi kerana perlu melihat teks sejarah itu secara kritis.SinarHarian

Ulasan