Umno BN Boleh Kalah..!!! Ketua Polis Negara...Kah Kah Kah kah...

IGP: BN boleh kalah PRU jika gagal urus isu ISA

September 23, 2011


KUALA LUMPUR, 23 Sept ─ Dalam pandangan seumpama yang jarang-jarang dikeluarkan, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengingatkan, kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh kalah dalam pilihan rayau mum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik.

Pendirian itu digariskan dalam satu buku berkaitan dengan 1 Malaysia yang diterbitkan sebelum pengumuman pentadbiran Najib mengenai ISA minggu lalu.

Menurut Ismail (gambar), isu ISA iaitu undang-undang yang diperkenalkan pada 1960, akan terus menjadi topik politik yang hangat untuk diperbincangkan dan pihak pembangkang akan terus menagih simpati dan sokongan pengundi.

Ismail yang menggantikan Tan Sri Musa Hassan September 2010 berkata, walaupun kerajaan berjanji untuk melihat semula akta tersebut khususnya dalam hal tanpa perbicaraan, namun banyak pihak yang meragui langkah itu.

Penggubalan dan penguatkuasaan ISA terletak di tangan kerajaan pusat, yang diterajui oleh BN sejak negara merdeka.

“Kerajaan dikatakan akan tetap menggunakan ISA sebagai serampang dua mata. Pada pihak kerajaan ISA penting untuk mengekalkan keamanan dan mengawal keselamatan negara tetapi pihak pembangkang terus menangih simpati dan sokongan pengundi,” kata beliau.

Justeru katanya, “jika kerajaan tidak dapat mengurus isu ini dengan baik, ia akan membawa kepada kekalahan dalam pilihan raya umum akan datang.”

Ismail mengatakan demikian dalam satu bab bertajuk “Keamanan dan Keselamatan Ke Arah Pembentukan Negara Maju” dalam buku berjudul “1 Malaysia Menjana Negara Sejahtera dan Bahagia Menjelang 2020”.

Buku itu dikeluarkan sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi perutusan khas sempena Hari Malaysia mengumumkan pentadbirannya akan memansuhkan ISA dan menggantikan dengan dua undang-undang baru.

Ismail berkata, tindakan pantas dan ‘pre-emptive’ yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia dalam menangkap elemen-elemen utama dalam kumpulan-kumpulan militan seperti Jemaah Islamiah (JI), Darul Islam (DI), Al-Qaeda dan Kumpulan Abu Sayyaf sejak 2001 merupakan faktor utama Malaysia terus selamat daripada sudut ancaman kumpulan militan di rantau ini.

Dalam tulisannya, Ismail juga menarik perhatian bahawa senario politik yang disaksikan pada Mac 2008 dijangka berlaturan pada masa-masa akan datang.

“Dalam pilihan raya umum ke-12, negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak jatuh ke tangan parti pembangkang. Di peringkat Parlimen pula, BN gagal memperoleh dua pertiga majoriti.

“Ini menyebabkan keadaan politik di peringkat negeri tidak menentu dan rapuh. Keadaan ini dijangka berlarutan pada masa-masa akan datang,” kata Ismail.

Tambah beliau, pemerintah di peringkat negeri hanya memperoleh majoriti mudah seperti yang dapat dilihat di negeri Perak.

Perikatan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan negeri itu pada pilihan raya umum 2008 tetapi tumbang awal 2009 apabila tiga wakil rakyatnya bertindak keluar parti masing-masing.

Dalam perutusan khas Hari Malaysia Khamis lalu, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Kata Perdana Menteri, dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Najib menjelaskan, undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Katanya, apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa menteri.

Dalam ucapan sulung selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 3 April 2009 Najib telah berjanji untuk mengkaji ISA secara komprehensif.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa Akta Buang Negeri 1959 akan dimansuhkan di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Malah, kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.TheMalaysiaInsider


Ulasan