PKR T'ganu Mahu Tuntut 'Royalti Tertunggak' 20 Peratus...bernilai kira-kira RM500 bilion atau RM19 bilion setahun.

KUALA LUMPUR 16 SEPT : PKR Terengganu hari ini hari ini menuntut Pakatan Rakyat menjadikan perjuangan menuntut royalti minyak sebanyak 20 peratus, seperti termaktub dalam Buku Jingga, mengambil kira 'bayaran tertunggak' yang tidak diterima sejak 33 tahun lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Azan Ismail berkata, perkara itu amalan biasa apabila sesuatu perjanjian dikaji semula, termasuk dalam perjanjian rolyalti antara Petronas dan kerajaan negeri.

"Kes ini seperti juga dalam pembayaran cukai terlebih yang boleh dituntut semula akibat kesilapan lepas pandang pada hak atau nilai," katanya yang juga anggota parlimen Indera Mahkota.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Azan berkata, jika tuntutan itu berjaya, bayaran tertunggak yang akan diperoleh Terengganu dianggar bernilai kira-kira RM500 bilion atau RM19 bilion setahun.

Katanya, nilai itu amat jauh dengan royalti yang diperoleh Terengganu sekarang yang cuma kira-kira 2 peratus atau kira-kira RM800 juta setahun.

"Perkara ini juga akan saya usahakan supaya dimasukkan dalam manifesto Pakatan negeri yang akan diusahakan tidak lama lagi," katanya.TVSNEWS

Ulasan