Perigi di sebuah kampung di Terengganu keluarkan gas

KUALA TERENGGANU - Seorang penggali perigi terkejut apabila telaga digalinya untuk menyalurkan air paip ke sebuah rumah di Kampung Padang Macang, Manir, dekat sini, mengeluarkan gas.

Lebih mengejutka Musa Omar, 48, ialah gas yang keluar dari telaga yang digali sedalam 11 meter itu itu mampu menyalakan api.

Menurut Musa, beliau diupah oleh tuan rumah yang merupakan imam di masjid kampung terbabit untuk menggali sebuah perigi berhampiran rumahnya.

Katanya beliau memulakan kerja menggali telaga itu seorang diri pada 9 pagi tadi tetapi apabila sampai di kedalaman tersebut, beliau terdengar satu bunyi pelik.

"Kemudian saya memasukkan sebatang paip PVC dan secara tiba-tiba terdengar bunyi seakan bunyi gas," katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Menyedari keadaan itu, beliau cuba menyalakan api dengan menggunakan pemetik api di corong paip pvc dan ternyata ia mampu menyalakan api walaupun gas keluar itu tidak mengeluarkan sebarang bau.

Penemuan itu tersebar dalam kalangan penduduk kampung sehingga menarik perhatian mereka untuk melihat lebih dekat kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd Fauzi Muda, berkata bahawa setakat ini, punca kejadian masih disiasat dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Geosains dan Mineral serta Jabatan Tanah dan Galian.

Katanya walaupun gas yang keluar itu tidak berbahaya kepada orang ramai, pihak berkuasa tetap mengambil langkah keselamatan dengan menutup tempat kejadian. - Bernama

Punca air keluarkan api

KUALA TERENGGANU - Penduduk di Kampung Padang Macang, Manir dan kawasan sekitarnya gempar, apabila kawasan tanah dikorek sedalam 10.8 meter, tiba-tiba mengeluarkan bunyi pelik, sebelum mengeluarkan api setelah penduduk mengujinya dengan meletakkan batang paip PVC dan dicucuh api.

Api itu dipercayai terhasil daripada gas yang berada di kawasan tanah dikorek oleh Ramli Ngah, 57, yang juga pengorek lubang.

Menurutnya, dia memulakan kerja menggali telaga itu, setelah diarahkan tuan rumah untuk mencari punca air.

Namun katanya, apabila sampai pada kedalaman itu, dia terdengar satu bunyi pelik, seolah-olah air sedang meletup-letup dari dalam tanah.:

“Saya kemudiannya memasukkan sebatang paip PVC dan secara tiba-tiba terdengar seakan-akan bunyi gas,” katanya.

Menurutnya, dia cuba menyalakan api dengan menggunakan pemetik api di corong paip PVC dan ternyata, ia mampu menyalakan api, dan ia mengeluarkan sedikit bau seakan bau belerang.

Penemuan itu, kemudiannya tersebar dalam kalangan penduduk kampung sehingga menarik perhatian mereka untuk melihat lebih dekat kejadian itu.

Tinjauan mendapati, selain orang ramai, turut hadir ke lokasi, Polis Diraja Malaysia dan Petronas Wilayah Pantai Timur, Kuala Terengganu bagi melakukan tinjauan berhubung gas yang keluar dari lubang terbabit.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd Fauzi Muda berkata, setakat ini, punca kejadian masih disiasat dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Geosains dan Mineral serta Jabatan Tanah dan Galian.

Menurutnya, walaupun gas yang keluar itu tidak berbahaya kepada orang ramai, pihak berkuasa tetap mengambil langkah keselamatan dengan menutup tempat itu.

Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu mengesah kan gas itu, dikenali sebagai gas Methane, selepas pihaknya melakukan siasatan terhadap penemuan itu.SinarHarian

Ulasan