BN gagal jaga kebajikan rakyat

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan sepenuhnya janji menjaga kebajikan rakyat walaupun mendakwa ia telah lama termaktub dalam manifestonya.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani :(gambar) :berkata, pemimpin BN dilihat hanya pandai menabur janji tetapi tidak tahu melaksanakannya.

“Apabila kita berjanji, ia harus dilaksanakan dan ditunaikan dengan segera, lebih-lebih lagi yang melibatkan kebajikan rakyat.

“Tetapi, kita (Pas) lihat kerajaan BN tidak menjaga kebajikan rakyat, malah mereka (BN) sentiasa menekan rakyat dengan pelbagai perkara-perkara remeh yang membebankan,” katanya kepada :Sinar Harian,: semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron, kelmarin, yang mendakwa konsep negara berkebajikan dilaungkan Pas meniru manifesto Umno.

Menurut Mohd Taufek, bayaran cukai perkhidmatan talian prabayar yang diumumkan baru-baru ini adalah satu contoh kegagalan kerajaan BN menjaga kebajikan rakyat.

Dalam perkembangan sama, katanya, Idris me-ngeluarkan kenyataan kurang tepat kerana Pas tidak pernah meniru mana-mana pihak terutama Umno, berhubung konsep negara berkebajikan.

“Tidak perlu kita (Pas) menciplak mereka kerana konsep ini sebenarnya dinyatakan di dalam al-Quran.

“Kita tidak perlu meraih simpati mana-mana pihak dengan manifesto itu kerana kita yakin rakyat tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.

Mohd Taufek berkata, Pas menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri kelainan konsep negara berkebajikan Pas berbanding manifesto Umno yang disifatkan seperti `cakap-cakap kosong’.SinarHarian

Ulasan