PR Akan Mengambil Alih Peranan Bela Orang Melayu Secara Mutlak

JOHOR BAHRU, 26 NOV : Tekanan keterlaluan pemerintahan Umno terhadap kaum melayu selama ini, mendesak gagasan Pakatan Rakyat mengembeleng kekuatan mengambil alih peranan membela nasib dan kebajikan kaum itu.

Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim berkata cabaran yang dilontar oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencabar kepimpinan Umno meminda undang-undang memastikan jawatan Perdana Menteri hanya boleh dipegang oleh seorang Melayu hanya cabaran menguji sejauh mana keikhlasan janji parti itu membela dan memartabatkan kaum melayu.

"cabaran itu bukan pendirian AMK mahupun parti, oleh kerana Umno lunak membicarakan soal melayu, kita mencabar Umno untuk meminda, itupun kalau mereka sanggup.

"Kita masih berpegang pada perlembagaan Malaysia selain prinsip adil dan saksama, apa yang dilontarkan itu hanyalah cabaran,"katanya.

Anwar berkata demikian dalam satu sidang media di Pulai Spring Resort, di sini hari ini.

Semalam, pada Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Pemuda Keadilan kali ke-8 di sini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin melontarkan mencabarnya kepada kepimpinan Najib Razak untuk meminda undang-undang bagi memastikan jawatan Perdana Menteri hanya dari kalangan melayu

Cabaran itu menurut Shamsul antara lainnya adalah untuk membuktikan bahawa Umno bukan lagi juara orang Melayu seperti apa yang didakwa parti itu selama ini.

Dalam perkembangan sama, Shamsul menerusi program bual bicara 'Fokus Berita' bersama TVSelangor berkata walaupun polimik berhubung isu melayu akan dimainkan oleh media arus perdana dan pemimpin Umno namun isu tersebut harus di lihat secara positif.

Selama ini ternyata Umno telah gagal memertabatkan orang melayu dalam semua bidang termasuk hak istimewa orang melayu, tanah rizab orang melayu dan ekonomi orang melayu yang jauh tersisih.

Pemerintahan Umno lebih 54 tahun yang kononnya membela nasib melayu bagaimana pun telah membuka mata rakyat mengenali wajah sebenar kepimpinan Umno.

Mengulas lanjut, Anwar berkata PKR teguh mendaulatkan perlembagaan tanpa berbelah bagi dan mengingatkan media agar tidak mengambil kesempatan untuk mengelirukan rakyat dengan cubaan ini.

"Pendirian kita ialah kekalkan peruntukan pelembagaan yang ada, kita cabar Umno kerana Umno bicara soal melayu, itupun kita pertikai kerana bukan melayu rakyat (golongan melayu bawahan),"jelas Anwar.TVSNEW

Ulasan