Sikap amanah bawa Selangor lonjak agihan kebajikan rakyat

KUALA LUMPUR: Pengurusan wang yang beramanah adalah bukti komitmen Pakatan Rakyat terhadap pemerintahan berintegriti di Selangor, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Beliau berkata, ratusan juta ringgit berjaya dijimat dan dipulangkan kembali demi kebajikan rakyat, hasil pembasmian ketirisan dan rasuah.

Dalam kenyataan media, Azizah memuji pentadbiran Selangor yang berjaya melonjak hasil negeri dan memastikan pengagihan khazanah secara adil dan prihatin.

“Anggaran peningkatan hasil cukai (8.23%) dan hasil bukan cukai (40.12%) untuk 2012 menunjukkan pengurusan ekonomi negeri menjana pembangunan pesat.

“Simpanan tunai kerajaan Selangor kini mencecah RM1.2 bilion – jumlah tertinggi dalam 28 tahun,” katanya yang mengalu-alu Belanjawan Selangor 2012 bertema ‘Selangorku: Hasil Negeri Untuk Rakyat’.

Memuji pentadbiran Selangor yang berjaya melonjak hasil negeri dan memastikan pengagihan khazanah secara adil dan prihatin, Aziziah berkata, pimpinan kerajaan negeri meneliti setiap pengurusan wang rakyat dan mengenal pasti serta mengutip semula hutang sektor swasta kepada rakyat.

Contohnya, beliau berkata tiada rekod berkaitan hutang RM391 juta Talam Corporation kepada kerajaan Selangor ketika Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pada Mac 2008.

Untuk 2012, Selangor meneruskan program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan tambahan RM300 juta atau 15 peratus dari Belanjawan 2011 melalui geran untuk meringankan beban rakyat.

Sasaran program ialah menyalur bantuan kepada penduduk berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar, golongan petani dan nelayan serta orang kelainan upaya (OKU).

Menegaskan komitmen Pakatan Rakyat memastikan rakyat berpeluang memperoleh pendapatan encukupi setara dengan kos sara hidup, Azizah berkata, ia bukan bersifat ‘one-off’ seperti amalan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).KeadilanDaily


Ulasan