Prof Aziz Bari nafi serang pengurusan zakat S'gor

Profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Abdul Aziz Bari hari ini menafikan beliau menyerang pentadbiran dan pengurusan zakat di Selangor sebagaimana yang
didakwa oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah baginda semalam.

Katanya, beliau tidak pernah menyerang pengurusan zakat yang sedia ada di Selangor.

azlanSebaliknya, tegas pakar perlembagaan itu, beliau hanya menyuarakan kebimbangan tentang masa depan, memandangkan pindaan kepada enakmen yang memberikan kuasa yang luas kepada
sultan - yang mungkin mempunyai implikasi kepada pengurusan masjid dan zakat.

Beliau memberitahu demikian kepada Malaysiakini hari ini melalui e-mel sebagai mengulas titah Sultan Selangor yang dukacita berhubung dakwaan Abdul Aziz, kononnya laporan kewangan tahunan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bebas daripada diaudit.

Abdul Aziz menjelaskan bahawa konteks komen beliau adalah mengenai percubaan "luar biasa" yang dibuat untuk meluluskan rang undang-undang itu apabila sultan dilaporkan "mengeluarkan titah kepada anggota Dewan Undangan Negeri Selangor".

Dilaporkan Sultan Selangor telah mengeluarkan titah menitahkan mereka meluluskan pindaan untuk meluaskan kuasa sultan dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam hal ehwal Islam di negeri ini.

Mengenai pengurusan zakat, beliau bercakap tentang masa depan, bukan tentang masa kini, jelas Abdul Aziz dan menambah beliau membuat komen iu sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang pakar dalam perlembagaan.

"Saya juga membayar zakat dan fitrah di Selangor," kata Abdul Aziz.

Berdasarkan itu, Abdul Aziz berhujah bahawa apa yang dititah oleh sultan mengenainya adalah "tidak betul".

Katanya, baginda telah diberi nasihat yang salah dan oleh itu beliau bersedia mengadap jika baginda memberi perkenan berbuat demikian.MalaysiaKini

Ulasan