Nizar : Sokongan Rakyat Kekal Bersama PR

SHAH ALAM 5 MEI : Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyangkal dakwaan beberapa pihak bahawa sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin pudar berikutan kajian pengurangan bilangan kerusi yang boleh dimenangi parti itu baru-baru ini.

Namun katanya, ekoran daripada tipu daya dan helah politik yang digunakan Umno-Barisan Nasional, ia sedikit sebanyak menggugat sokongan masyarakat Melayu yang mula keliru dengan corak pentadbiran Umno-BN yang meniru pentadbiran Pakatan Rakyat.

Cuma apa yang membezakan keduanya ialah Umno-BN giat menabur tohmahan dan memburukkan pentadbiran Pakatan Rakyat demi meraih undi masyarakat terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman.

" Isu pudar atau tidak itu tidak wujud tetapi ia mungkin hanya kepada sebahagian komuniti India dan Melayu oleh kerana beberapa sebab yang dibuat oleh Umno-BN.

" Untuk itu khususnya Umno, Zambry telah melaksanakan program-program kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa kemudahan-kemudahan termasuk meluluskan geran-geran tanah yang telah lama tertunggak dan sebagainya.

" Dan ini sebenarnya adalah usaha mereka dalam menyakinkan pengundi Melayu dan sebahagian pengundi India untuk menyakinkan rakyat, tetapi kalau kita tengok pengundi Cina kepudaran itu tidak wujud dan ini hanya dalam bentuk sementara sahaja.

Nizar berkata demikian ketika dihubungi Tv Selangor bagi mengulas laporan sentimen marah di kalangan rakyat berhubung tindakan Barisan Nasional (BN), yang didakwa merampas kerajaan negeri Perak awal 2009, kelihatan mula pudar dengan kajian terbaru menunjukkan bilangan kerusi yang boleh dimenangi Pakatan Rakyat merosot.

Menurut laporan itu lagi, bilangan kerusi boleh dikuasai Pakatan Rakyat jika pilihan raya diadakan sekarang hanya sekitar 33 berbanding 40 kerusi yang diramalkan sejurus selepas krisis politik Februari 2009.

Kajian pendapat umum yang dikendalikan Pakatan Rakyat sejurus selepas peristiwa Februari 2009 menunjukkan perikatan tiga parti itu boleh menyapu sehingga 40 kerusi ataupun majoriti dua pertiga daripada 59 kerusi di Dewan Undangan Negeri.

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat memenangi 31 kerusi. Bagaimanapun tiga Adun masing-masing dua dari PKR dan seorang wakil rakyat DAP keluar parti menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat tumbang.

Pada Jun lalu, Adun Malim Nawar Keshvinder Singh, juga meninggalkan DAP, untuk menjadi wakil rakyat mesra BN.

Justeru, BN mempunyai kekuatan 32 anggota berbanding 27 wakil PR.

Namun menurut Nizar, berdasarkan pemerhatiannya beliau yakin sokongan rakyat terhadap akan bertambah dari semasa ke semasa dengan usaha gigih gagasan itu.

" Pengundi Melayu yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat adalah mencecah 38 peratus , jadi usaha kami untuk mempertahankan sokongan pengundi melayu sebanyak 38 peratus dan kalau boleh kita naikkan sampai ke 40 peratus.

Tegas Nizar, Pakatan Rakyat kini tekad dalam usaha meningkatkan sokongan pengundinya berikutan tindakan terdesak Umno-BN di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang kini sedang giat merencana pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi meraih undi masyarakat Melayu.

"Tetapi Umno-BN dengan usaha gigih mereka hari ini sampai Zambry terpaksa berkampung di tempat-tempat pedalaman dan juga program-program media massa mereka memberi tohmahan kepada PR menyebabkan sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi Melayu di pedalaman.

" Jadi untuk itu PR cuba sedaya upaya mempertekadkan usaha bagi meningkatkan jumlah pengundi kaum cina khususnya dan orang asli supaya mereka bertambah menyokong PR pada PRU akan datang.

Menurut Nizar lagi,sokongan pengundi hari ini bukan sahaja dibantu oleh PAS bahkan dari DAP dan PKR.

Oleh itu, Pakatan Rakyat akan mengagihkan kekuatannya bagi usaha menawan 38 kawasan pedalaman yang dilihat mempunyai potensi yang besar.

" Untuk itu kita telah buat satu keputusan untuk memberikan fokus daripada pimpinan PAS, DAP dan PKR disemua peringkat khususnya di semua kawasan pedalaman yang mempunyai lebih 60% majoriti pengundi Melayu. Maka hari ini pimpinan Pakatan Rakyat memberikan fokus kepada 38 tempat kawasan pedalaman ini.

Tambah Nizar lagi, beliau yakin pada pilihan raya umum akan datang rakyat Perak akan bangkit selari dengan angin perubahan yang dibawa gagasan itu pada pilihan raya Sarawak lepas.TVSNEWS

Ulasan