YB Tian Chua gagal rayu denda RM2,000

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan ahli parlimen Batu, Tian Chua untuk merayu hukuman denda sebanyak RM2,000 atas kesalahan menghalang tugas polis yang dijatuhkan ke atasnya sebelum ini.

Peguamnya Amer Hamzah Arshad bagaimanapun berkata, Tian Chua yang juga naib presiden PKR masih kekal sebagai ahli parlimen walaupun hukuman dan denda berkenaan dikekalkan oleh mahkamah rayuan.

NONEBercakap kepada pemberita, Amer Hamzah berkata, status Tian Chua itu adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Jun tahun lalu bahawa mahkamah tidak mahu satu pilihan raya kecil berlaku.

Mahkamah Rayuan menolak permohonan Tian Chua (kiri) secara sebulat suara memandangkan notis itu lewat difailkan.

Sebelum itu, mahkamah turut menerima bantahan daripada pendakwaan yang diketuai timbalan pendakwa raya Mohd Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Balia Yusuf Wahi ketika membacakan keputusan itu berkata, rayuan berkenaan ditolak kerana proses memfailkan rayuan itu dijalankan secara "tidak cekap."

Jelasnya, Mahkamah Rayuan pada 30 Ogos lalu telah membenarkan permohonan untuk mendengar hujah bagi rayuan tersebut.

Bagaimanapun, pemohon berkenaan tidak memfailkan notis rayuan itu di pendaftar yang sepatutnya pada 6 September, 2010, kata Balia Yusuf lagi.

"Apabila diberitahu berhubung kesilapan itu oleh pendaftar mahkamah pada 5 Oktober, 2010, meraka memfailkan permohonan itu pada keesokan harinya," katanya lagi.MalaysiaKini


Ulasan