DAP, PAS Mahu Anwar Terus Menjadi Ketua Pembangkang


SHAH ALAM 4 MEI: DAP hari ini menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang paling layak memegang jawatan Ketua Pembangkang kerana rekod dan prestasi baik beliau di dalam dan luar kerajaan pemerintah.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong berkata Pakatan Rakyat sepakat Anwar harus terus mengisi jawatan penting itu tanpa mengambil kira dominasi parti di Parlimen.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Abang Johari Openg agar menggantikan Anwar dengan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang memandangkan parti itu memegang majoriti kerusi pakatan pembangkang berbanding PKR dan PAS masing-masing 23 kerusi.

Chin Tong menyifatkan kenyataan Abang Johari itu bersifat perkauman.

"Kita anggap seseorang itu sesuai atau tidak, yang kita pertimbangkan adalah kepakaran beliau dan prestasi rekod yang lama perlu ditimbang. Bukan hanya bangsa.

"Abang Johari gagal besar di Sarawak, dia cuba untuk buat perselisihan dan ceraikan parti Pakatan Rakyat. Politik beliau bukan secara jujur," ujar beliau kepada Tv Selangor.

Malah beliau berkata sekiranya Pakatan Rakyat ditakdirkan memegang tampuk pemerintahan negara, gagasan itu tidak akan menolak untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berpendirian komitmen yang diberikan Anwar kepada Pakatan Rakyat begitu bermakna dan mahukan beliau terus menggalas jawatan Ketua Pembangkang.

Beliau berkata, muafakat yang dipersetujui PKR, DAP dan PAS sejak 2008 dengan melantik Anwar mewakili pakatan pembangkang tidak akan berubah.

Jelasnya muafakat yang wujud ternyata melangkaui pemahaman Umno-Barisan Nasional mengenai kerjasama politik, kata beliau lagi.

"Jadi tidak semestinnya parti yang mendominasi dalam parlimen itu akan menjadi ketua pembangkang, itu memang menjadi lumrah tapi apa yang di amalkan Pakatan Rakyat hari ini telah melangkawi amalan itu dan kita pergi kepada asas kesepakatan dan penghormatan kita kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelas beliau ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.TVSNEWS


Ulasan