Kerajaan Pakatan bantu mangsa tanah runtuh

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga kepada kanak-kanak yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Madrasah Al Taqwa Felda Semungkis, Hulu Langat.

NONEMenurut TV Selangor, kerajaan negeri juga telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor serta Yayasan Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membiayai kos keperluan kepada mereka yang terselamat dalam bencana alam ini serta petugas-petugas yang bertungkus lumus menjalankan misi mencari dan menyelamat.

Menteri Besar akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini.

Beliau turut mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.

24 buried alive in landslide at orphanageBuat sementara waktu, Kerajaan Negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni madrasah dan ahli keluarga mereka yang terlibat di Azwin Resort sehingga misi penyelamat dan mencari mangsa selesai dijalankan.

Khalid menasihatkan keluarga mangsa-mangsa terlibat supaya bersabar dan redha dengan kejadian ini. Semoga roh mangsa yang terkorban di tempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah.

Sementara itu, kerajaan Pakatan Pulau Pinang akan menghulurkan sumbangan RM25,000 untuk rumah anak yatim dan keluarga 25 mangsa terbabit.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi ia merupakan sokongan moral kepada keluarga mangsa terbabit.

Sambil mengucap takziah dan simpatinya, Lim berkata, bencana yang berlaku itu amat menyedihkan dan menyentuh hati rakyat Malaysia di seluruh negara tanpa mengira kaum dan agama.

Lim, yang juga ahli parlimen Bagan, turut berterima kasih kepada anggota penyelamat dan pasukan polis yang bertungkus lumus menjalankan operasi menyelamat.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa berkenaan supaya mengambil langkah-langkah bagi memastikan tragedi seumpama itu tidak berulang.MalaysiaKini


Ulasan