Restu Utusan Malaysia wujud sentimen ancaman, Najib lakon dua watak- Husam

Ahli jawatankuasa PAS pusat, Datuk Paduka Husam Musa percaya, Najib selaku presiden Umno melakonkan dua watak untuk mengekalkan sokongan orang Melayu terhadap BN.

“Perdana Menteri sebenarnya merestui agenda Utusan Malaysia. Dia bermain dua watak sekaligus dan membawa ‘dua pancing satu umpan’.

“Ini sama seperti sentimen dari isu ‘tengkolok bersalib’ yang dikenakan kepada Tengku Razaleigh Hamzah menjelang pilihan raya pada 1986.

“Utusan Malaysia bertindak bagi pihak Umno menimbulkan sentimen terancam (fear psychology) supaya orang Melayu kekal menyokong Umno-BN,” kata Husam dalam kenyataannya semalam.

Beliau memberikan reaksi berhubung kenyataan Najib yang kononnya menuntut semua pihak membendung perasaan emosional untuk tidak membuat perkara yang boleh mengganggu-gugat keamanan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Sikap lepas tangan Perdana Menteri, adalah sama sekali menyalahi ajaran Islam dan bahaya kepada norma kerukunan masyarakat Malaysia. Ini adalah politik Machiavelli pada peringkat yang tertinggi.

“Apabila agenda ini bergerak, ia memakan tuan. Langkah Utusan Malaysia ditolak oleh majoriti rakyat.

“Kemudian, Perdana Menteri mengambil watak bersikap lebih sederhana dan pertengahan.

“Persoalannya, jika Najib sedar gerakan ini membahayakan negara, kenapa Utusan Malaysia terus bebas menjadi ‘anak nakal’ yang tidak bertanggungjawab menabur api fitnah sesuka hati?.

Trend Utusan Malaysia mengapikan sentimen perkauman dan agama dengan isu terbaru kononnya wujud ‘ancaman Kristian’ membahayakan keamanan negara dan kemakmuran masyarakat majmuk Malaysia.

“Suka saya mengingatkan, langkah ini bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang menggunakan provokasi kaum dan agama.

“Larangan memaki hamun sembahan penganut agama lain boleh menimbulkan kebencian agama. Ini dinyatakan dalam Al-Quran seperti firman Allah SWT dalam surah Al-An’am, ayat 108 boleh dijadikan contoh,” jelas Husam.KeadilanDaily


Ulasan