TEMERLOH: Fitnah berterusan yang dilemparkan Umno Barisan Nasional terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya berjaya menyemarakkan lagi sokongan rakyat jelata kepada beliau.
Buktinya semalam di Temerloh, lebih 10,000 hadir mendengar ceramah Anwar di majlis Himpunan Kebangkita Warga Felda Pahang bertempat di Markas Besar Pas Pahang, Kerdau.
Kawasan di sekitar markas seolah-olah berpesta untuk semalaman di Temerloh apabila seorang lagi penceramah superstar dari Pas, Mohammad Sabu turut serta memeriahkan pentas berceramah kepada warga Felda.
Memulakan ceramahnya, Anwar berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tersilap membaca mood anak muda apabila menganggap anak muda yang hadir pada program Perhimpunan Sejuta Belia hadir kerana ingin mempertahankan Putrajaya daripada
pembangkang.
“Dia kata di Mesir satu juta orang muda tuntut perubahan. Jadi di sini dia minta orang muda sokong Barisan Nasional.
“Orang muda ini dikaitkan dengan idealisme, cita-cita murni. Orang muda ini benci dengan kemungkaran, benci dengan rasuah, benci dengan kezaliman.
“Silap Najib itu. Yang minta perubahan tumbangkan kerajaan yang ada. Jadi saya nak sambut dengan katakan sudah sampai ketikanya anak muda Felda, anak muda Malaysia bangkit tuntut perubahan,” kata Anwar.
Menurut Anwar lagi, Najib juga gagal memahami idealisme anak muda kerana menjadikan fitnah sebagai asas untuk terus berkuasa di Malaysia.
“Fitnah itu tidak boleh dijadikan asas kepada perjuangan,” kata Anwar.
Anwar seterusnya menyeru hadirin agar melihat perjuangan Pendita Zaaba sebagai contoh perjuangan sebenar membela nasib rakyat, dan bukannya perjuangan Umno yang sarat dengan rasuah dan fitnah sekarang ini.
“Tahu tak pejuang Melayu sebenarnya siapa? Tengok Tun Sri Lanang. Tengok Zaaba diangkat menjadi pendita.
“Beliau berbicara (tentang Melayu) sewaktu berumur 21 tahun. Umur 29 ke 30 tahun sudah mula menulis tentang masalah kemiskinan Melayu, miskin harta benda, miskin ilmu pengetahun dan dangkal ilmu agama. Miskin akal budi dan akhlak. Kalah sebelum melangkah berjuang.
“Jadi kata Zaaba kalau Melayu mahu pertahan maruah dan berjiwa besar, mahu kembalikan zaman kehebatan dulu, Melayu mesti bangkit dan jangan miskin ilmunya, akal budi dan akhlaknya.
“Mesti kaya ilmu, kaya akhlak, baru boleh buat perubahan.
“Bukan kaya maki hamun, kaya ugut orang, kaya fitnah seperti ditaja pimpinan Umno sekarang ini,” kata Anwar.
Pada majlis yang sama, Pas turut menyiarkan montaj cadangan penubuhan sebuah universiti Felda yang dinamakan Universiti Teknologi Felda Tun Abdul Razak.
Universiti itu dicadang dibina di atas tapak seluas 400 hektar di Jengka, Pahang, memandangkan Pahang adalah negeri yang paling banyak tanah rancangan Felda.
Ia akan berperanan sebagai institusi pendidikan khusus kepada anak-anak peneroka Felda seperti Universiti Tenaga Nasional yang memberikan keutamaan kepada anak-anak kakitangan Tenaga Nasional Berhad.
Di akhir majlis, Anwar turut diberikan penghormatan bersama Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyaksikan
penyerahan borang keahlian 160 orang ahli baru Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) kepada Pengerusi Anak, Mazlan
Aliman.KeadilanDaily
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..