KOTA BHARU, 18 Mei: Pemuda PAS Kelantan bersedia menyahut cadangan Pemuda Umno Kelantan untuk bertemu bagi membincangkan isu Ladang Rakyat dengan membuat cadangan balas iaitu mengadakan debat terbuka di antara kedua-dua belah pihak.
Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman dalam satu kenyataannya berkata, Pemuda PAS berpandangan banyak lagi lagi isu-isu yang lain dapat diketengahkan oleh Pemuda Umno sekiranya benar-benar mereka berjuang untuk kepentingan rakyat.
"Isu pembinaan tambahan Jambatan Sultan Yahya Petra, isu tuntutan royalti minyak yang menjadi hak rakyat Kelantan dan isu prosedur pengagihan wang ihsan yang tidak telus juga memerlukan kepada penjelasan.
"Di mana Pemuda UMNO Kelantan di dalam menangani isu-isu ini?" tanya beliau.
Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian Edisi Kelantan pada 17 Mei 2011 di halaman K3.
Di dalam kenyataan tersebut, beliau dilaporkan sedia berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Pemuda PAS berhubung isu Ladang Rakyat yang membawa kepada perarakan penyerahan memorandum di hadapan Kota Darulnaim pada pagi 16 Mei 2011 yang lalu.
"DPPNK bersedia menyahut cadangan Pemuda UMNO Kelantan ini," kata Abdul Latif.
Berhubung dengan cadangan ini, Latif berkata, debat terbuka dilihat lebih praktikal berbanding dengan perbincangan kerana Pemuda Umno telah mensensasikan isu ini dengan mengadakan perarakan penyerahan memorandum pada pagi 16 Mei yang lalu.
"Justeru, untuk membolehkan isu ini dinilai secara adil oleh masyarakat, DPPNK mencadangkan supaya debat terbuka dapat diadakan dengan turut menampilkan wakil dari pengurusan Ladang Rakyat sendiri untuk memberikan penjelasan.
"Sekiranya pihak Pemuda Umno Kelantan bersetuju dengan cadangan ini, satu jawatankuasa khas boleh diwujudkan di antara DPPNK dan Pemuda Umno Kelantan ke arah memastikan debat ini dapat dilaksanakan," katanya.
Latif berkata, pihaknya, benar-benar berharap agar Pemuda Umno Kelantan dapat menyambut baik cadangan ini sebagai membuktikan mereka benar-benar berjuang untuk kepentingan rakyat dan tidak hanya memperalatkan isu ini semata-mata untuk kepentingan politik mereka.HarakahDaily
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..