“Tatkala meletusnya Reformasi 98, Syed Ahmad Jamal tidak tinggal diam, Allahyarham sedar peranannya sebagai seorang seniman adalah memahami dan seterusnya bersama dengan denyut nadi rakyat yang menuntut keadilan,” kata Anwar.
Syed Ahmad Syed Jamal, 82, meninggal dunia malam semalam di kediamannya di Gombak, Kuala Lumpur.
Beliau adalah pelukis logo ADIL atau Pergerakan Keadilan Sosial, gerakan badan bukan kerajaan yang ditubuhkan sebagai respons tindakan-tindakan yang dikenakan ke atas Anwar yang difitnah pada tahun 1998.
Menurut Anwar, beliau sendiri masih menyimpan lukisan Allahyarham di ruang tamu rumahnya dan berasa bangga mengenali seniman seperti Allahyarham.
Jujur lagi berani
“Saya akui tersemat rasa bangga, namun bukan bermegah, kerana punyai karya seorang seniman hebat, jujur lagi berani.
“Seniman yang berasal dari Muar ini dijoloki gelar pelopor seni moden Malaysia bersama antaranya Latif Mohidin, Ibrahim Hussein dan Anthony Lau,” kata Anwar.
Menurut Anwar, beliau turut berasa dekat dengan Syed Ahmad (kiri) kerana Allahyarham bukan sahaja melukis logo ADIL tetapi turut menghasilkan karya lain memperihalkan peristiwa 'mata lebam' ketua pembangkang itu.
Malah, Syed Ahmad turut melawat Anwar di penjara Sungai Buloh dan di mahkamah serta memberikan sokongan kepadanya.
“Saya, Azizah dan keluarga sememangnya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dianugerahkan seorang sahabat yang baik dan setia.
“Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Syed Ahmad Jamal dan moga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” kata Anwar.
Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim berkata pelukis muda tanah air perlu mengambil iktibar daripada kesukaran hidup Syed Ahmad dalam meneruskan kerjaya seni mereka, kata
Bernama memetik beliau berkata pelukis muda tidak perlu berasa gentar, takut mahupun terkebelakang lantaran karya seni mereka tidak menerima upah atau sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat.
"Syed Ahmad mengharungi liku-liku hidup yang boleh dijadikan panduan, termasuk melukis tanpa pendapatan selama bertahun-tahun.
"Tapi beliau tahan dan gigih dalam menghasilkan satu demi satu karya seni dan kemudian seni itu sendiri jadi pendapatan untuknya," katanya kepada pemberita di pejabatnya Kuala Lumpur hari ini.
Syed Ahmad, 81, meninggal dunia pada Sabtu. Allahyarham meninggalkan isteri Datin Halimah Mohd Noor, 69, dan dua anak lelaki iaitu Syed Nurlhaq, 35, dan Syed Nabil, 39.
Rais (atas, bertopi merah) berkata apa yang penting adalah kebolehan Allahyarham meneruskan cita-cita dan hala tuju seni lukis beliau walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.
Katanya Allahyarham tidak kisah dengan kos yang diperlukan untuk menghasilkan karya seni tetapi apa yang penting adalah nilai lukisan itu.
"Inilah yang kita dapat lihat melalui Syed Ahmad yang tidak harus kita lupakan," katanya.
Rais menyifatkan pemergian Syed Ahmad sebagai satu kehilangan seorang seniman bertaraf antarabangsa, pendidik dan seorang yang mempunyai jiwa khusus untuk mendalami hal ehwal seni lukisan.
"Allahyarham bukan saja seorang seniman menerusi kaca mata lukisan tapi beliau juga seorang pendidik yang mempunyai persepsi kesenian yang amat mendalam. Sejarah hidup beliau penuh dengan intisari pencapaian yang amat tinggi," katanya.MalaysiaKini
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..