KOTA BHARU, 10 Ogos: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan akhbar Mingguan Watan membayar sebanyak RM1.4 juta kepada tiga pemimpin PAS Kelantan terhadap kes saman fitnah.
Perintah itu dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nariman Badruddin dalam kamar.
Ketiga-tiga plaintif iaitu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Anuar Tan Abdullah diwakili peguam Hisham Fauzi.
Bagaimanapun peguam defendan, Rosli Abu Zarim tidak hadir hari ini.
Pemimpin PAS terbabit menyaman akhbar berkenaan berhubung laporan berunsur fitnah disiarkan Mingguan Watan bertarikh 21-27 Disember 2008.
Mereka menyaman M Goenawan Mohamed, Wan Bahador Wan Ismail @ Baha Azuwan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Naluri Teratai Sdn Bhd dan Tristan Media Distributors.
Mingguan Watan pada edisi ke-17 bertarikh 21-27 Disember 2008 menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap ketiga pemimpin tersebut.
Raja Ahmad Zainuddin yang juga Adun BN di Perak bertindak sebagai Penasihat Jabatan Pengarang.
Berita itu disiar di halaman hadapan bertajuk “Siasat Pemimpin-Pemimpin PAS Kelantan Seleweng Ekuiti PKINK” ditulis M Goenawan.
Akhbar mingguan itu mendakwa “Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan mengalami kerugian puluhan juta ringgit akibat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan beberapa pemimpin PAS Kelantan yang menjadi ahli lembaga pengarah PKINK.
“Kerugian bernilai RM21 juta itu berlaku dipercayai kerana penyalahgunaan kuasa di kalangan pihak pengurusan PKINK dalam urusan pentadbiran dan pengurusan projek anak syarikatnya Kelstone Sdn Bhd.”
Ekoran penyiaran berita berunsur fitnah tersebut Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah menghantar surat dan memberi notis selama 14 hari untuk membolehkan Mingguan Watan memohon maaf.
Bagaimanapun akhbar berkenaan pada edisi bertarikh 4-10 Januari 2010 menyiarkan berita pihaknya tidak perlu memohon maaf.
Sebaliknya seperti mencabar PKINK supaya menghantar surat pembetulan dan penjelasan fakta sekiranya berita yang disiarkan itu tidak tepat.
Malah dalam berita sama ditulis, akhbar berkenaan tidak takut kepada ugutan kerana mendakwa berpegang kepada prinsip dan asas kewartawanan.
Kes saman tersebut sebelum ini dibicara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sejak Febuari 2009.
Hisham berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis bagi mengarahkan responden membayar gantirugi tersebut dalam tempoh tujuh hari.
”Notis tersebut InsyaAllah akan dikeluarkan esok,” katanya ketika ditemui di sini.
Dalam notis saman ketiga-ketiga pemimpin PAS terbabit menuntut ganti rugi sebanyak RM15 juta daripada akhbar Mingguan Watan.
Pada keputusan hari ini juga Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi memerintahkan Mingguan Watan membayar sebanyak RM675,000 kepada PKINK dalam saman yang dibuat secara berasingan.
Sebelum ini PKINK menyaman Mingguan Watan dan menuntut ganti rugi RM5 juta.HarakahDaily
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..