SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merealisasikan janji untuk mempertimbangkan dengan teliti penggunaan dakwat kekal, bukannya disebabkan mahu meredakan kemarahan rakyat.
Pengarah Pilihan Raya Pusat PKR, Azmin Ali (gambar) berkata, pihaknya menyambut baik komitmen yang ditunjukkan SPR walaupun terdapat keraguan sama ada SPR memiliki kekuatan dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya.
“Kita tidak mahu perkara lama berulang kembali, misalnya tiga hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), mereka membatalkan penggunaan dakwat kekal atas pelbagai alasan walaupun ketika itu dakwat sudah dibeli,” katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang boleh dilaksanakan tanpa menunggu kajian daripada Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
“SPR jangan sekadar bercakap, lebih baik mereka menjalankan tugas dengan telus supaya sistem pilihan raya kita semakin bersih,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi, Dewan Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, SPR sepatutnya lebih menumpukan penggunaan dakwat kekal berbanding mahu menggunakannya bersama sistem biometrik.
“SPR sendiri mengakui dapat mengenal pasti beberapa kelemahan sistem biometrik setelah membuat simulasi penggunaan sistem ini, malah kelemahan itu yang ditekankan sebelum ini.
“Kita percaya, biometrik masih tidak mampu menyelesaikan masalah pengundi hantu. Jadi, SPR perlu mengembalikan keyakinan rakyat dengan memilih satu mekanisme yang mampu menjadikan sistem pilihan raya negara ini telus dan adil,” katanya.
Beliau berkata, terdapat satu lagi kelemahan sistem biometrik yang belum disebut SPR iaitu infrastruktur.
“Sekiranya mereka mahu laksana biometrik ia melibatkan saluran sistem di seluruh negara. Pangkalan data di Putrajaya perlu disalurkan untuk dihantar ke semua tempat, ini yang akan memakan masa dan kos,” katanya.
Timbalan Presiden DAP, Tan Seng Giaw berkata, setiap sistem tidak akan menunjukkan perubahan positif sekiranya pelaksana tidak amanah dan bertanggungjawab.
“Setiap sistem yang hendak dilaksanakan perlu menggunakan cara yang bersih dan adil termasuk penggunaan biometrik dan dakwat kekal. Ia hanya medium, yang penting orang yang melaksanakan sistem ini,” katanya.SinarHarian
Amaran!!! Pakatan Rakyat Jangan Di tipu lagi.... Bersih 3.0 perlu digerakan dari sekarang.....
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..