North Malay Basin: Petronas tak patut nafi hak Kelantan, kata Husam

August 26, 2011


KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Kerajaan negeri Kelantan kesal dengan tindakan Petronas yang mahu melaksanakan projek huluan baru bernilai RM15 bilion membuat sebarang rundingan dengan negeri itu.

Projek itu dikenali sebagai North Malay Basin.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Paduka Husam Musa (gambar) menegaskan, projek untuk membangun dan mengeluarkan simpanan gas dari kelompok medan gas yang ditemui di luar pesisir pantai Semenanjung turut melibatkan Kelantan yang telah dinafikan hak mendapatkan royalti.

“Suka diingatkan bahawa projek North Malay Basin dengan blok-blok yang disebut iaitu PM 301, PM 302 serta telaga Bergading adalah sepenuhnya berada dalam perairan Kelantan dan tidak bertindih dengan mana-mana negeri atau negara lain.

“Jaraknya dengan pantai Kelantan hanya 150km dan paling hampir berbanding Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru kata beliau, adalah satu perkara yang tidak wajar apabila Petronas mengetepikan Kelantan dalam projek yang turut akan melibatkan rakan kontrak perkongsian pengeluarannya (PSC) Petronas.

“Adalah tidak wajar Kelantan tidak dirundingi dalam hal ini. Juga adalah tidak wajar sekali lagi Kelantan dipinggirkan dari mendapat faedah secara langsung daripada pembangunan hasil mahsul yang dianugerahkan Allah tersimpan di perut buminya,” katanya.

Menurut Husam, pihaknya meminta Petronas meneliti semula dokumen cadangan kerajaan negeri Kelantan supaya hasil pengeluaran gas itu didaratkan di Bachok.

“Kerajaan negeri bersedia memberikan segala kemudahan bagi tujuan itu termasuk teknologi terkini yang mampu memproses gas dengan kandungan karbon yang tinggi dengan kos lebih murah dan dengan itu loji pemprosesan dapat ditempatkan di sini.

“Kerajaan negeri akan berbuat apa sahaja insya-Allah supaya hasil Kelantan ini tidak sekali lagi diangkut keluar tanpa memberikan apa-apa faedah kepada rakyat dan negeri Kelantan,” katanya.

Projek North Malay Basin adalah salah satu inisiatif dan usaha Petronas dan rakan PSCnya untuk mengekstrak dan mengosongkan gas dengan kandungan CO2 yang tinggi daripada rizab telaga minyak kecil untuk memenuhi permintaan gas di Semenanjung.

Ia akan membabitkan sembilan medan gas yang ditemui, iaitu terletak di dalam Blok PM301 dan PM302, dan di kawasan kontrak Bergading, iaitu kira-kira 300km di luar pantai Semenanjung.

Bagi memindahkan sumber gas yang dihasilkan dari medan gas berkenaan projek itu akan turut membabitkan pembinaan saluran paip baru sepanjang 200km menghubungkan lokasi projek ke Kerteh, Terengganu.TheMalaysiaInsider

Ulasan