Serbuan Jais : Exco S'gor Dipanggil Beri Penjelasan

SHAH ALAM 5 OGOS : Pas Selangor akan memanggil Exco Datuk Dr Hasan Ali dalam masa terdekat menuntut penjelasan bersabit isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) keatas sebuah gereja Kristian Rabu lalu.

"Saya harapakan ada kebijaksaan menangani isu ini dan kita akan tunggu selepas mesyuarat untuk mendapatkan penjelasan daripada Hasan Ali," kata ahli parlimen Khalid Samad pada sidang media tadi.

Khalid seterusnya menyifatkan serbuan oleh hampir 20 orang pegawai penguatkuasa Jais termasuk polis itu tidak berhemah memandangkan Islam menuntut umatnya menghormati rumah ibadat agama lain.

Katanya, waran dan maklumat yang lengkap harus dijadikan rujukan utama sebelum sesebuah tindakan diambil lebih-lebih lagi melibatkan isu agama dan bukan bertindak seperti Umno-Barisan Nasional (BN) yang ingin menunjukkan sifat ketuanan.

Justeru beliau yakin agama selain Islam sensitif akan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyekat mana-mana tindakan memurtadkan penganut Islam.

"Saya yakin gereja sangat memahami peruntukan dalam perlembagaan.

"'Kita mahu orang bukan Islam rasa selamat dan dihormati bila duduk dibawah pemerintahan Islam," ujar beliau lagi.

Hasan yang dianggap duri dalam daging kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor walau bagaimanapun mempertahankan tindakan beliau berdasarkan maklumat tentang cubaan paderi di Gereja Methodis Damansara Utama menggunakan perkataan "Quran" dan "Solat" berniat memurtadkan sekumpulan kecil Melayu Islam yang hadir ke majlis makan malam di gereja itu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menyatakan kekesalan atas kejadian tersebut justeru menantikan laporan lengkap dari jabatan agama negeri itu.

Paderi gereja itu, Dr Paul Tan Chee Ing kemudiannya menggesa agar Hasan Ali mengemukakan bukti atas tuduhan yang dilemparkan dan sekiranya tidak benar, maka exco Selangor itu serta Jais didesak agar memohon maaf kepada pihak gereja.

Khalid seterusnya menjelaskan Pas Selangor berpegang kepada prinsip menghormati rumah ibadat agama lain dengan mengambil pendekatan Rasulullah yang menasihati supaya semua rumah ibadat terkecuali daripada sebarang serangan dan tomahan.

Ujarnya, tuduhan tersebut amat serius dan akan memberi implikasi besar terhadap rakyat di negara ini.

Oleh yang demikian beliau berkata Jais harus memberi penjelasan sepenuhnya kepada semua rakyat bagi mengelakkan timbulnya suasana tegang bersabit isu agama.TVSNEWS

Ulasan