PKR syor Jais-gereja bincang cari jalan penyelesaian

August 09, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Disebalik kontroversi serbuan ke atas sebuah gereja minggu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengesyorkan agar semua pihak berkepentingan terutamanya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Gereja Methodist Damansara Utama “duduk semeja” untuk mencari penyelesaian kemelut yang tercetus itu sehingga menimbulkan banyak keraguan.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Ahmad Kassim berkata, maklumat yang diperoleh umum kini sangat meragukan ekoran banyak pihak telah mengeluarkan kenyataan tidak bertepatan mengenai apa yang berlaku Rabu lalu.

Justeru kata beliau, semua keraguan itu boleh diselesaikan melalui pertemuan empat mata dengan semua pihak termasuk Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama.

“Apa yang kita cuba singkap daripada isu serbuan Jais ke atas gereja mempunyai dua maklumat yang berbeza, yang pertama Jais bertindak atas maklumat bahawa kitab Injil versi Bahasa Malaysia diagihkan kepada orang Melayu dalam majlis itu, dikatakan ada kaitan dengan proses penyebaran agama lain ke atas agama lain dan kedua Majlis Aids Malaysia (MAC) menjelaskan majlis makan malam itu bertujuan mengutip derma bagi membantu pesakit Aids.

“Kami berpendapat adalah lebih harmoni semua pihak sama ada pihak gereja, Jais atau pihak-pihak yang terlibat untuk mendapatkan maklumat yang tepat, duduk semeja dan mencari jalan penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad berkata demikian sebagai respons terhadap isu serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petaling Jaya oleh Jais, Rabu lalu.

Kira-kira 30 anggota polis dan pihak berkuasa Jais memasuki premis gereja tanpa waran kira-kira 10 malam.

Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.

Dalam serbuan itu, Jais dilaporkan telah memeriksa 12 individu beragama Islam yang turut hadir dalam program anjuran Harapan Komuniti.

Tambah Ahmad, pertemuan antara Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama boleh merungkai segala persoalan dan salah faham yang berlaku.

“Sekiranya semua pihak memahami hak inklusif dan eksklusif masing-masing, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Kami menyokong penuh usaha untuk bertemu muka dengan pengurusan Jais dan Gereja Methodist Damansara Utama untuk mendapat maklumat yang lebih tepat bagi merungkaikan isu ini,” kata beliau sambil menambah semoga pendekatan itu memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang berbilang agama secara keseluruhannya.

Tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.

Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.

Bagaimanapun Presiden MAC Datuk Mohd Zaman Khan berkata majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti itu dianjurkan Gereja Methodist Damansara Utama untuk mengumpul dana bagi pertubuhan rakan MAC di premis itu.

Mohd Zaman berkata, dana yang dikumpul dari majlis makan malam itu bertujuan untuk memberi bantuan kewangan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan membantu mendapatkan perubatan dan jagaan yang sempurna.

Dalam kenyataan itu, Ahmad turut menegaskan kepelbagaian agama dalam negara perlu dihormati oleh semua pihak selain memahami batasan yang tidak boleh dicerobohi.

“Kita perlu menerima hakikat ini secara positif dengan ketentuan Tuhan yang membawa banyak rahmat. Masing-masing agama harus memahami batasan yang dibenarkan dan sempadan yang tidak boleh dicerobohi (eksklusif).

“Bagi umat Islam, persoalan berkaitan dengan akidah adalah persoalan pokok, yang tidak boleh di tolak ansur, batasan eksklusif yang harus difahami dan dihormati oleh agama lain. Islam juga menghormati hak eksklusif agama lain,” katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Bersekutu NGO Islam (Accin) Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir pihaknya mahu semua pihak menghormati sensitiviti umat beragama.

“Rumah ibadah merupakan institusi kedua terbesar di dunia yang perlu mempromosikan hubungan positif antara agama selepas institusi pendidikan,” kata beliau sambil menambah, agar ia berjaya, Accin meminta usaha memurtadkan penganut Islam dihentikan segera.

“Ini bersesuaian dengan semangat hubungan antara agama dan peruntukan Perlembagaan di mana Islam adalah agama Persekutuan. Agama lain boleh diamalkan dengan menghormati agama Persekutuan tersebut dan sensitiviti umatnya,” kata beliau.

Kata beliau, sejak penubuhan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama, Accin dan ahli-ahli lain tidak mengeluarkan sebarang kenyataan media mengenai urusan antara agama sebagai menghormati konsensus jawatankuasa tersebut.

“Accin ingin mengingatkan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao kembali menghormati jawatankuasa tersebut pada masa akan datang.

“Sebaiknya isu-isu sebegini dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama di mana dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Tan Sri Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab,” kata beliau.

Abdul Halim juga berkata Accin juga mahu pihak kerajaan segera mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan pertikaian tersebut dan hasil siasatan perlu dikemukakan segera agar tidak berlaku salah faham dalam masyarakat.TheMalaysiaInsider

Ulasan