KUALA LUMPUR, 26 Ogos ─ PAS Perak menyifatkan pendedahan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung perpecahan Melayu mempunyai asas dan keadaan itu akan terus berlaku sekiranya pentadbiran Najib tidak berusaha memperbaiki keadaan.
Ketua Penerangannya Perak Ahmad Nuri Al-Amin berkata, tiga perkara asas yang dibangkitkan Harussani mengenai perpecahan orang Melayu perlu menjadi intipati rakyat pada pilihan raya umum ke-13.
Dalam Wacana Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti kelmarin, Harussani (gambar) berkata, perpecahan Melayu yang berlaku disebabkan pentadbiran negara yang cukup lemah, rasuah dan tidak amanah.
Harussani juga berkata, orang Melayu berpecah selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.
“Kenyataan tersebut sewajarnya perlu dijadikan intipati dan teras pertimbangan rakyat dalam memilih pemimpin yang benar-benar layak untuk memelihara amanah rakyat dalam ruang dan peluang yang ada semasa pilihan raya umum ke-13.
“Peringatan itu jelas membawa mesej agar jika pemimpin yang lemah, tidak amanah dan rasuah masih dipilih untuk memerintah maka ia akan hanya menjadikan bangsa Melayu makin berpecah dan sentiasa mundur,” kata Ahmad Nuri dalam satu kenyataan.
Merujuk pula kepada kes penyelewengan yang berlaku di Perak, Ahmad Nuri berkata gejala rasuah dalam kepimpinan arisan Nasional (BN) tidak dapat dibendung lagi.
“Kenyataan Harussani bertepatan dengan apa yang telah didedahkan oleh PAS Perak sejak dari dulu lagi. Antaranya apa yang dinyatakan oleh Dewan Pemuda PAS Perak Februari lalu berkaitan seorang exco kerajaan negeri Perak yang telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Hal yang sama juga dapat diperhatikan dari pendedahan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak April lepas berkenaan satu dokumen membabitkan penyalahgunaan kuasa yang berunsur rasuah oleh seorang exco kerajaan negeri Perak,” katanya.
Tambah beliau, pendedahan penyelewengan yang berlaku di Perak membuktikan kesahihan kenyataan Harussani.
“Gambaran-gambaran ini jelas menunjukkan kesahihan kenyataan Tan Sri Harussani tentang kelemahan, pengkhianatan dan amalan rasuah kerajaan BN yang tidak mampu dibendung oleh ulama kerajaan dari terus berleluasa.
“Gejala rasuah ini masih menular di dalam BN yang memerintah termasuk di Perak. Kami yakin rakyat boleh menilai dan melihat sendiri sepertimana yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Harussani,” katanya.TheMalaysiaInsider
Ulasan
Catat Ulasan
Ulaslah Yang Terbaik..