Langkau ke kandungan utama

Kelantan tak akan serah tanah kepada Felda


Datuk Husam Musa
KOTA BHARU - Kelantan tidak akan menyerahkan tanah di negeri itu yang kini diusahakan oleh Felda untuk disenaraikan di Bursa Malaysia melalui Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya menentang keras usaha penyenaraian FGVH kerana ia lebih bermotifkan politik demi kepentingan Barisan Nasional (BN) khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU-13).

“Apa yang difahamkan usaha penyenaraian tersebut dilakukan demi menambah dana tabung Umno bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar 3 Dekad Pas Kelantan di Pondok Pasir Tumbuh di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan cadangan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia ketika membentangkan Bajet 2012 Oktober lalu.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang diketuai Mazlan Aliman mengadakan pelbagai bantahan bagi menghalang tanah milik peneroka dijadikan sandaran.
Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini bercadang mengambil alih Felda Plantations Sdn Bhd untuk dimasukkan peneroka baru.

Tanah yang diluluskan Kerajaan Negeri di Gua Musang terbahagi kepada dua kategori iaitu dilulus hak milik kepada peneroka dan dibangunkan Felda Plantations Sdn Bhd.
Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, usaha dilakukan Felda kini jelas mahu mengkhianati orang Melayu yang kini menjadi aset kerajaan di kawasan Felda.

“Sepatutnya kerajaan mengadakan program penjelasan secara telus bagi membolehkan orang ramai faham tujuan penyenaraian tersebut,” katanya.
Laporan media semalam menyebut, semua butiran yang diperlukan bagi menyenaraikan FVGH di Bursa Malaysia dijangka diserahkan kepada Suruhanjaya Sekuriti untuk penilaian minggu depan.

Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad berkata, keperluan itu yang kini dalam proses akhir penyediaannya meliputi perkara-perkara berkaitan perjanjian tanah, rekod lampau syarikat dan keuntungan syarikat.
"Semua keperluan tersebut yang diperlukan oleh SC sudah disediakan dan akan diserahkan pada minggu depan dan jika semuanya berjalan lancar, pertengahan bulan Mei kita akan dapat menyenaraikan FVGH di Bursa Malaysia," katanya.

Isa berkata, penstrukturan saham juga sudah hampir selesai di mana Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan terus menjadi pemegang saham terbesar manakala syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja turut ditawarkan saham./SinarHarian

Ulasan