Undi Pakatan, selamatkan negara!!


TASEK GELUGOR, 4 Feb: Pakatan Rakyat tidak mahu mengambil alih Malaysia yang sudah bankrap tetapi bersedia ke Putrajaya sebelum itu, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
 
Oleh itu, katanya rakyat yang cintakan Malaysia mesti menyelamatkan keadaan pada Pilihan raya Umum ke-13 dengan memberikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

"Tiada jalan lain untuk selamatkan Malaysia melainkan jatuhkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ini.

“Jika BN menang lagi pasti negara akan bankrap sebab sekarang ini pun sudah ke arah itu," tegasnya ketika berceramah sempena majlis makan malam kutipan dana pilihanraya PAS Negeri di Dewan Besar Sungai Dua, malam tadi.

Menurutnya lagi, slogan 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' bermakna rakyat kena mempersiapkan diri dengan mental yang tinggi dengan memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, kemenangan Pakatan Rakyat pastinya mengembalikan kestabilan politik negara yang hampir luntur ekoran terlalu banyak kepincangan yang dilakukan oleh BN.

Jika ditakdirkan Malaysia bankap tahun 2019, beliau percaya BN menyerahkan pentadbiran negara secara percuma sahaja kerana mereka tidak dapat berbuat apa-apa lagi untuk menghalangnya.

"Jika waktu itu bagi percuma pun Pakatan Rakyat tak mahu kerana nak pulihkan ekonomi negara yang bankrap amat sukar. Jadi, sebelum terlambat buatlah perubahan," katanya.

Kata Mohamad lagi, anak muda yang cintakan keharmonian usah mendakap tubuh sebaliknya perlu mengatur strategi untuk ke Putrajaya bersama dengan parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat.

Tambahnya, negara sudah pun menuju ke arah kebankrapan apabila wang rakyat digunakan untuk kepentingan kroni, membeli peralatan ketenteraan yang kurang sesuai dan sebagainya.

“Kepimpinan Umno dan BN buat tidak peduli pengaliran wang yang begitu deras  ke kocek kroni kerana mereka sendiri ada habuannya.

"Semua nak makan komisyen. Itulah sebabnya negara boleh runtuh," terangnya.

Turut berucap ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa, Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man dan Ketua Pemuda DAP Pulau Pinang, Steven Sim./HarakahDaily

Ulasan