PM sertai Thaipusam: Mana suara Menteri Agama

KUALA LUMPUR, 12 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku menteri agama agar segera menyatakan pendirian berhubung kehadiran Perdana Menteri ke perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.

Ini kerana, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah menyifatkan Datuk Seri Najib Razak "menggadai akidah" kerana hadir dalam upacara keagamaan yang haram di sisi Islam.

"Apa guna Jamil Khir menjawat jawatan menteri mengenai urusan agama apabila beliau gagal menasihat dan menegah penyertaan Perdana Menteri dalam upacara Thaipusam sehingga mufti sendiri menyifatkan perbuatan Perdana Menteri itu menggadai agama," kata Mahfuz kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, adalah pelik jika menteri yang sepatutnya menasihati Najib berdiam diri sehingga teguran dan tegahan terpaksa datang dari Mufti Perak pula.

Beliau juga mempersoal di mana peranan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu dalam menasihati Najib dalam urusan agama.

"Atau adakah Najib hanya mahu menerima nasihat dan petunjuk dari Yahudi Zionis dalam Apco Worldwide sahaja?

"Kalau begitu, lebih baik Jamil Khir meletak jawatan dengan segera," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga hairan, adakah Jamil Khir tidak tahu bahawa selain dari menghadiri upacara Thaipusam, banyak lagi tindakan dan perkara yang haram dalam Islam dihalalkan oleh Umno.

"Tindakan tersebut termasuk rasuah, fitnah, mencuri duit rakyat dan diberikan kepada kroni seperti kes lembu fidlot, mengaibkan sesama manusia, menipu dalam pilihan raya, pengundi hantu, pemberian kad pengenalan kepada pendatang yang tidak layak menerimanya dan banyak perkara lain yang diharamkan oleh Islam.

"Tetapi dalam Umno semuanya halal asalkan dapat undi, dapat untung dan dapat wang. Itulah fahaman Umno dan itulah yang dilakukan oleh Umno. Adakah Jamil Khir tidak tahu atau beliau juga merestui perbuatan-perbuatan itu?" katanya.

Sebelum ini, dalam tegura terhadap perbuatan Najib menyertai perayaan Thaipusam yang disifatkannya “menggadai akidah” itu, Harussani juga berkata, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun Perdana Menteri seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.

“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.

“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu./HarakahDaily

Ulasan