KWSP: Dividen 6 peratus, tertinggi dalam 10 tahun

Wartawan Sinar Harian
19 Februari 2012
Semua pinjaman KWSP patuhi prosedur
KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu, kadar tertinggi sejak 10 tahun.

"Lembaga KWSP dengan kelulusan Menteri Kewangan mengisytiharkan kadar dividen sebanyak enam, tertinggi dalam tempoh 10 tahun untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011," kata Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan KWSP hari ini.

Kadar itu meningkat sebanyak 20 mata asas daripada 5.80 peratus yang dibayar pada 2010 atau bersamaan RM24.47 bilion yang diagihkan kepada ahli-ahli KWSP.

"Tahun 2011 menandakan satu lagi pencapaian baik KWSP," kata beliau.
Katanya, walaupun persekitaran pelaburan yang mencabar, ia merupakan prestasi terbaik sejak 2001, hasil strategi pelaburan jangka panjang dan berhemah KWSP berserta dengan usaha berterusan pasukan pelaburan.

KWSP terus menunjukkan pencapaian yang lebih baik pada 2011 dengan memperoleh pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM27.24 bilion, meningkat 13.18 peratus daripada 2010, kata beliau.
Menurut Samsudin, bayaran dividen sebanyak RM24.47 bilion diperoleh setelah ditolak elaun rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi, caj berkanun dan bayaran dividen pengeluaran, bertambah sebanyak 13.23 peratus berbanding RM21.61 bilion pada 2010.

“Sementara pelaburan berpendapatan tetap memberikan pulangan yang stabil, prestasi keseluruhan KWSP sebahagian besarnya disumbangkan oleh perolehan dalam kedua-dua ekuiti tersenarai awam domestik dan global serta program pengurusan yang aktif.

“Prestasi kukuh selepas krisis kewangan 2008 membuktikan komitmen KWSP dan pendekatan berdisiplin dalam pelaburan," katanya lagi.

Tambah beliau, walaupun KWSP tidak boleh menjamin dapat mengekalkan prestasi pelaburan semasa dalam suasana ekonomi global dan pasaran tidak menentu, KWSP komited untuk melindungi dan memberi nilai tambah kepada simpanan persaraan ahli khususnya dalam menghadapi tekanan inflasi./SinarHarian

Ulasan