Sekat pemerhati luar: SPR cuba sembunyikan sesuatu? - Nik Amar


KOTA BHARU, 9 Feb: PAS menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seolah-olah cuba mahu menyembunyikan sesuatu ekoran tindakannya tidak membenarkan pemerhati luar memantau pilihan raya umum ke 13.

(Nik Amar dakwa Wan Ahmad cuba sembunyikan sesuatu)

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah berkata, berbeza pula dengan PAS yang mengalu-alukan pemerhati asing.

"Kalau SPR betul-betul telus,  sepatutnya terima pemerhati asing. Buat apa takut," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mohamad Amar mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar yang mengingatkan parti-parti pembangkang supaya tidak ghairah menarik pemerhati asing ke negara ini untuk memantau proses Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Wan Ahmad berkata pemerhati asing, yang mungkin mewakili badan bukan kerajaan (NGO) tertentu, tidak memahami undang-undang pilihan raya di negara ini.

Katanya, mereka juga tidak faham budaya berpolitik di Malaysia selain tidak memahami sensitiviti rakyat negara ini.

"Dia (pemerhati asing) datang seminggu sebelum pilihan raya, kemudian buat andaian dan kesimpulan mengenai proses perjalanan pilihan raya di negara ini," katanya.

Bagi Mohamad Amar, SPR tidak sepatutnya takut untuk membenarkan pemerhati antarabangsa datang memerhatikan perjalanan pilihan raya di negara ini.

"Buktikan pada dunia yang kita ni telus dan terima pemerhati asing," cadang beliau yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan.

Mohamad Amar ditemui wartawan selepas majlis perasmian sambutan suami isteri 2012 di Balai Islam hari ini./HarakahDaily

Ulasan