Nik Aziz Gesa "Henti Aibkan Anwar"

KOTA BHARU 13 MEI : Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru mana-mana pihak yang merancang untuk memburukkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera menghentikan tindakan serta bertaubat.

Nik Aziz berkata, ini kerana beliau memahami perasaan ahli keluarga Anwar termasuk isterinya, Datin Seri Wan Azizah yang begitu terseksa dengan apa yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu terhadap suaminya sejak sekian lama.

"Sudah lebih 10 tahun maruah Anwar dilanyak, dihentak, dilenyek begitu tanpa ada rasa belas kasihan, isteri mana yang tidak menderita dengan apa yang berlaku,”ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azizah dalam sebuah akhbar harian semalam bahawa beliau begitu terseksa dengan fitnah itu.

Sehubungan itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan memohon pihak perancang yang merakam dan mendedahkan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu dihentikan segera.

Menurut Nik Aziz, sebagai umat Islam mereka harus sedar tindakan memfitnah dan mengaibkan orang satu dosa yang besar.

Tegas Nik Aziz lagi, balasan buruk akibat tindakan itu akan diberikan Allah kepada orang yang memfitnah sejak di dunia lagi.

“Kita sebagai anggota masyarakat jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka yang membuat perkara buruk (fitnah) itu kerana dosanya juga akan terpalit pada kita," katanya.TVSNEWS

Ulasan