Lelaki   India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang   tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih.   Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa   ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari   sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah   habis waktu pejabat.
Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islamsedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.
Biarpun   dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah   asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia   juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan   tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi   ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar   bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.
Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan   segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap   Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang   kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang   mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka   sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."
Mendengar   kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah   menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan   Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan   kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?
Bahkan,   sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh   orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang   pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan   itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap   kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.
Rasa   tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki   India itu tekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat   dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama   mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh   perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi  ia  dilakukan secara terbuka di kaca TV.
Lelaki   itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak   peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari   jalan bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan  memendam  niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai.  Melalui  seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank  tempatnya  bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah  rumah  seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan  usrah di  rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat,  seminggu  sekali.
Ketika   sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di   hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila  sambil  memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din  mengajar  tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya  menjadi  panas.
Lelaki   itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan   Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang   betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum   Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah  beberapa  bulan berlalu.
Namun,   tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi.  Perasaan  marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa  bulan  itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang  disampaikan oleh  ulama tersebut.
Setelah   tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas   itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama   tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara   penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam   bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.
Sebelum   ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam   dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati   lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya   masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada   malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi   untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.
Akhirnya   dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din.   Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi   buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.
Pun   demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang   ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan   Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut   dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.
Dan   yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk   mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia   akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham   tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut   kelak.
Selepas   itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah  Haron  Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin  lama  mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran  Islam.  Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan  Haron Din  dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard,  bertukar menjadi  sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din,  semakin hampir  hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus  tanpa  simpang-siur.
Niat   asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu   sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu   bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih   mendalam.
Suatu   hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan   tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam   soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya   dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu   juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan   kejahatan?
Dan   yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya   amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan   Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana   Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.
Haron   Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan   saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah   seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul,   benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan   tanah tersebut.
"Tuan   kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti   mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain.   Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk   meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan   kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja   untuk orang lain?
"Begitu   jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan   kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain,  contohnya  kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti,  Allah akan  memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua  amalan yang  kita lakukan bukan untuk Dia?"
Ternyata   segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas   pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap   hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah   dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa   sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.
Setelah   empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron   Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam.   Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas   itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.
Dalam   satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk   Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan   kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh   mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa   yang dirasakannya.
Haron   Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu   saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam   berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama.  Saya  mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton   rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar  mereka  berfikir."
"Dan   saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu.   Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas   hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia   menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran   Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.
Ketika   Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid   Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia   mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk   memeluk Islam.
"Seperti   yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan   Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu.  Tetapi,  apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan  dalam  diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk  berdebat  dengan beliau," jelasnya.
Sebenarnya   sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap   agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga   bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang   dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di   sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut   hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan   agama yang dianutinya.
"Sebenarnya,   agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang   satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa   yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang   diajar di dalam kitab.
"Mereka   tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam   Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan   Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa   ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul   sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di   dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya,   termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.
"Tetapi   apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar,   saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar   ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya   sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini.   Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri   lagi.
Kejadian   itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman   yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari   ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.
Jika   dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya,   kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di   atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila   mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu   yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.
"Hari   ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman   mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman   yang saya lalui sebelum ini.
"Ini   adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah   anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat,   sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi  yang  bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami  pada  petang itu.
Ustaz   Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih   melihat ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat   kita. Sungguh sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen   sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama   kongsi, pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik   minat penonton Islam termasuk bukan Islam kerana kita kehilanagan   ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin, Harun Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? Mengapa? Sumber : SINI

Yak badrul amin heheheeheh kabar ke ni ?
BalasPadam