Anwar Ketuai 1000 Peneroka Saman FELDA

KEMAMAN 4 DIS: Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar Ibrahim akan memimpin 1,000 peneroka memfailkan saman terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau FELDA, menyentuh dua isu penipuan.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan atau Anak, Mazlim Aliman berkata 1,000 peneroka itu adalah dari kawasan rancangan FELDA Bera, dan bakal disusuli dengan saman dari 4,000 peneroka negeri Pahang, tiga bulan selepas itu.

Saman ini akan difailkan di Mahkamah Temerloh, 17 Disember depan.Ditemui di Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kemaman hari ini, Mazlan berkata rakyat sudah tidak lagi sabar dengan sikap kerajaan yang tidak mempedulikan keluhan mereka.

Mazlan memberitahu ada di kalangan 14,882 peneroka belum menerima wang tanam semula yang belum dilunaskan FELDA.Kerajaan juga dikatakan gagal menangani manipulasi kadar perahan gred oleh FELDA, yang membayar peneroka kadar 19 peratus sahaja, jauh lebih kecil dari nilai 25 peratus yang sepatutnya.

"Bagi rakyat, mereka sudah hilang sabar, dan kita terpaksa menggunakan saluran perundangan bagi menuntut hak mereka ," katanya.Anwar juga akan diiringi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi DAP Karpal Singh akan turun ke kawasan FELDA di Parlimen Bera, yang akan memulakan saman pertama bagi negeri Pahang.

Menurut Mazlan, usaha peneroka Bera akan disusuli dengan saman dari Jengka dan Keratong."Untuk makluman usaha kita di Muakil, Johor sudahpun dibicarakan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. Manakala yang menunggu dibicarakan adalah Serting.

Ini akan mungkin akan diikuti di Terengganu dan di Perak, dan akhirnya mungkin membawa ke seluruh negara," tambahnya lagi.Sebelum ini FELDA diarah mahkamah persekutuan membayar RM11 juta kepada 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan memberi tamparan hebat kepada agensi itu dan kemenangan moral yang besar kepada peneroka Felda di seluruh negara.

TVSNEWS

Ulasan