Pakatan Rakyat desak Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) mendedahkan jumlah sebenar hutang negara.

Dedah jumlah sebenar hutang negara
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR 3 Dis: Pakatan Rakyat mendesak Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) mendedahkan jumlah sebenar hutang negara.

Menurut penyata anggaran perbelanjaan persekutuan 2010/2011, hutang negara berjumlah RM446.7 bilion.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai yang meletakkan hutang dalam dan luar negara pada paras yang jauh lebih rendah, iaitu RM231 bilion adalah tidak benar.

"Saya pun tidak faham apa jawapan beliau. Saya rasa kita patut mendapat penjelasan kerana hutang negara menyentuh kedudukan negara di masa depan dan keupayaan kewangan negara untuk mentadbir keseluruhan kaedah-kaedah pengurusan kewangan ekonomi negara," katanya di parlimen, semalam.

Sebelum itu, Azan mengemukakan soalan tambahan kepada soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan prestasi hutang negara iaitu hutang-hutang negara yang langsai dan belum dibayar balik.

Namun pertanyaan tersebut tidak dijawab secara khusus oleh Timbalan Menteri Kewangan itu, justeru meninggalkan tanda tanya cubaan kerajaan untuk melidungi maklumat berhubung kedudukan kewangan negara.

Azan mengambil contoh kebanyakan negara di dunia telah mula mengukur prestasi hutang berbanding pelan kewangan masa hadapan untuk menilai keupayaan pengurusan dana negara.

"Ini adalah satu insiden yang agak malang kerana maklumat hutang negara telah diberi angka yang cukup menyeleweng. Kita tidak rasa penting kalau angka itu berbeza 10 hingga 15 peratus tapi angka yang diberi 100 peratus lebih rendah," katanya.

Tambahnya lagi, kesan kekeliruan akan mengakibatkan reaksi pasaran berlaku serta merta ketika negara sedang memberi tumpuan kepada unjuran Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) justeru tidak memilih sama ada Umno atau Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau) menegaskan Pakatan Rakyat tidak teragak-agak untuk membawa perkara percanggahan maklumat ke tengah mengikut aturan 36(12) yang boleh mendakwa menteri mengelirukan dewan.

"Kalau tidak serius beliau boleh secara terbuka betulkan. Tetapi kalau beliau serius dan benda itu direkodkan, saya rasa itu bahaya. Yang lebih penting ada impak kepada bajet dan kita bahas di atas angka yang salah," katanya.

HarakahDaily


Ulasan