Dr Aziz Bari : Raja Berpelembagaan Konsep Memerintah Mengikut Peraturan

KUALA LUMPUR 18 DIS : Raja berperlembagaan adalah satu konsep dimana raja memerintah mengikut nilai dan peraturan tertentu, kata seorang pakar undang-undang.

Profesor Dr Abdul Aziz Bari, seorang profesor undang-undang awam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata sebagaimana yang diketahui, perlembagaan adalah nilai dan batasan ke atas kuasa.

"Ini kerana konsep raja di dalam kesultanan Melayu berasaskan Islam dan dibawah konsep ini pemilik kuasa dan kedaulatan sebenar ialah Allah SWT. Konsep raja berkuasa mutlak tidak diterima dalam Islam," katanya dalam syarahan bertajuk "Perlembagaan Persekutuan dan Kuasa Raja-Raja" di sini hari ini lapor Bernama.

Syarahan di Bangunan Lama, Balai Berita ini dianjurkan Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia (PBWBHM), yang mengadakan mesyuarat agung kali keenam dan ketujuhnya, di tempat sama, sebelum syarahan itu, hari ini. Mesyuarat itu dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif, Berita dan Operasi Editorial, Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A. Talib.

Turut hadir Presiden PBWBHM Dr Alias Mohamed.

Abdul Aziz berkata satu daripada asas penting perlembagaan adalah demokrasi dan ini menjelaskan mengapa rakyat diberi hak menukar kerajaan melalui pilihanraya. Katanya selain demokrasi, perlembagaan juga penting kerana ia adalah rakaman sejarah dan jati diri negara.

"Ini menjelaskan mengapa parlimen, meskipun ia mempunyai majoriti dua pertiga atau lebih, tidak boleh meminda perlembagaan tanpa perkenan Raja-Raja.Sifat pribumi perlembagaan ini juga menjelaskan peranan dan kuasa Raja-Raja dalam soal agama," katanya.

Abdul Aziz berkata jawatan Yang di-Pertuan Agong, selain menjadi simbol dan kesinambungan sejarah, adalah pernyataan jelas konsep federalisme negara ini.

"Daripada segi rutin pentadbiran negara, Yang Di-Pertuan Agong berfungsi sebagai raja berperlembagaan. Tetapi baginda boleh memainkan peranan penting sebagai satu agen semak dan imbang dalam kerangka perlembagaan," katanya.TVSNEWS

Ulasan