Jawapan Presiden Pas Isu Jawatan TPM

SERDANG – Perlembagaan Pakatan Rakyat tidak pernah memutuskan untuk mengangkat Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-13.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan janji Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kit Siang akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri adalah bersifat peribadi.

“Itu hanya pandangan peribadi Anwar dan bukannya mewakili keputusan Pakatan Rakyat kerana kita tidak pernah menetapkan dalam perlembagaan untuk meletakkan mana-mana individu sebagai Perdana Menteri mahupun timbalannya.

“Saya juga difahamkan Anwar tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu, sebaliknya media yang salah melaporkannya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan pertunjukan rodeo di Laman Ternakan di Pameran Antarabangsa Pertanian, Horikultur dan Agropelancongan Malaysia (Maha 2010), di sini, semalam.

Anwar sebelum ini dalam wawancara dengan sebuah akhbar mengatakan akan mengangkat Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.

Menurut Anwar, jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandang oleh orang Cina tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dan tidak bercanggah dengan kepentingan orang Melayu.

Sementara itu, beliau juga enggan mengulas lanjut sikap Pas yang masih berdiam diri mengenai tindakan seorang perwakilan bukan Islam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mentafsir ayat al-Quran secara salah dalam Kongres PKR, baru-baru ini.

“Saya tidak mendengar ucapan perwakilan itu dan tidak tahu di mana tempat ucapan itu dikeluarkan kerana tidak membaca mengenainya di media, jadi saya tidak boleh komen. “Apa yang saya boleh katakan ialah ayat al-Quran sesuai digunakan dalam semua perkara, tetapi perlu melihat konteks tempat di mana ayat itu digunakan,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menegaskan, Pas memperjuangkan ketuanan Islam dan bukannya ketuanan bangsa. “Kalau Melayu memperjuangkan ketuanan Islam, maka Melayu layak jadi tuan dan sebaliknya,” katanya.

SinarHaraian

Ulasan