Nik Aziz Seru Umat Islam Tinggalkan Politik Sekular

SHAH ALAM 7 DIS : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini menyeru umat Islam agar meninggalkan sistem ekonomi berasaskan riba, sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata serta sistem politik sekular bagi menyelaraskan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.

Beliau dalam perutusan sempena Maal Hijrah 1432 mengingatkan peristiwa hijrah bukanlah satu kegiatan yang diada-adakan tanpa asas di mana sambutan tersebut bagi memperingati peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW, sebagaimana yang telah diperintahkan di dalam Al-Quran.

"Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua."Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek.

Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT."Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik "Manakala di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam yang sebenar, politik yang turut mengambil kira soal dosa dan pahala di dalam gerak kerja," ujar Nik Aziz yang juga merupakan Mursyidul Am PAS.

Justeru, memperingati peristiwa hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimanakah pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Allah SWT di muka bumi ini.Ujarnya, hari ini genap 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita.

"Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. "Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini," tambah beliau.

TVSNEWS

Ulasan