Tok Guru Mahu Gerakan Dakwah Kepada Bukan Islam.

Nik Aziz mahu gerakan dakwah turut ditumpukan kepada bukan Islam

KOTA BAHARU - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu gerakan dakwah di negeri ini turut memberi tumpuan kepada bukan Islam bagi memberikan penjelasan kepada mereka bahawa Islam bukan agama ekstremis seperti digambarkan pihak tertentu.
"Apa yang saya mahu, gerakan dakwah turut tertumpu kepada bukan Islam supaya mereka dapat memahami Islam bukan agama yang dimomok sebagai ekstremis dan pengganas.
"Inilah antara apa yang tidak memuaskan hati dan saya merasa terkilan,” katanya ketika merasmikan Majlis Graduasi Pelajar Maahad Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun sejarah perkembangan dakwah dan pondok telah bertapak begitu lama di Kelantan, namun dakwah yang dijalankan tidak menyeluruh kepada masyarakat bukan Islam dan hanya tertumpu di kalangan orang Melayu dan umat Islam sahaja.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, semua Maahad Tahfiz di bawah Yayasan Islam Kelantan akan mewajibkan pelajar membaca sehelai muka surat al-Quran sebelum memulakan sesi pembelajaran mereka.
Ini bagi melatih dan membolehkan pelajar khatam 30 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun, katanya.SinarHaraian

Ulasan